Monday, February 11, 2013

JAGUNGKU KONTOT2 SEMUANYA TAPI BERISI PADAT :))

Assalamualaikum semua...Berbudi pada tanah pasti mendatangkan hasil, walaupun kadang2 tak diberi penjagaan dengan baik. Alhamdulillah pokok2 jagung yang ditanam beberapa bulan lalu semuanya berbuah. Benihnya dibeli di Pasar Tani Cenderong Balai, jenis jagung manis Taiwan.

Kelakar pulak tengok buah2 jagung semuanya kontot2 belaka. Tak cukup baja & penjagaan la nie! Anyway, isinya padat & paling syoknya rasa jagung I lebih manis dari jagung Cameron. 

Saya lah yang paling kontot...

Eh ehhh, ada pokok jagung dah berbuah dicelah2 semak...

Hubby memang rajin menanam tapi tang penjagaan kurenggg...hi3..Semangat berkebun berkobar2 kan cuma masa terhad especially time katering. Takpe2, isterimu amat memahami. Hopefully after this hubby akan tanam jagung2 lagi tapi yang saiz panjang2 la pulak ya Yanggggg....

  1. Akak stimkan dalam pengukus kesemua jagung yang sudah dibuang kulitnya...
  2. Apabila jagung sudah masak, keluarkan dari pengukus dan sapukan sedikit garam halus & mentega secukupnya...
  3. Then, sapukan sedikit susu pekat manis, jika suka...
  4. Sedia untuk dimakan!!! 

Sunday, February 10, 2013

OPERA CAKE DI CH



Assalamualaikum semua...Mula2 nak gelak dulu kat diri sendiri bila tengok n3 Januari I sebanyak nan 1 itu..kah3..Apakan daya tangan tak sampai...Nyampah betul, tak abis2 dgn alasan tu je kan! Abis nak letak alasan apa ke lagi. Sememangnya tangan akak tak sempat nak mengupdate...

So, pendek cerita  kek opera ni I buat sebelum ke Cameron tempohari...(tempohari tu actually dah lama dahhhh..) Udah lama teruja bila tengok opera cake di beberapa blog but lastly I decided to try resepi dari Juicy Cafe. Boleh pengsan tengokkan kek operanya yang menawan.

I buat kek ni agak2 kelam kabut la sebab banyak benda nak settlekan, Mana nak siap luggage sendiri, hubby & anak2. Depa ni semua manja, ngengada pun iya. Semua nak tunggu mama pilih baju, seluar...nasib baik yg dalam tu reti pilih sendiri. Mana nak buat kek opera lagi. Yang I pun satu hal dah tahu nak naik ke Cameron dan dan tu nak membakingnya. Ntah la, semangat dah datang & tak mampu kutepis...kih3

Sukat punya sukat, putar punya putar jadi pun akhirnya. Tapi frust sikit sebab ganache I tak cukup untuk cover the whole cake..Tu yang appearancenya cukup2 makan je tuu..huhu...:(( Apa2 pun yang penting rasanya memang sedap sampai menjilat piring. Di kesejukan malam tu anak2 pun potong kek & makan punya lah best..Cuma bila dah bawa balik lebihan kek tu rasa dia dah jadi keras la sebab dah turun naik bukit gamaknyee..

Apa2 pun buat sesiapa yang nak tahu camne rasanya kena la cuba membuatnya sendiri. Boleh refer resepinya di bawah ni sumbangan Juicy cafe & resepi asalnya dari Chef Alex Goh. Thanks for sharing ya & izinkan akak siarkan resepinya disini for my further reference.

OPERA CAKE

SUMBER : JUICY CAFE


150 gm gula aising*
45 gm tepung gandum* - *satukan dan ayak
150 gm badam kisar
4 biji telur A
30 gm butter - cairkan dan sejukkan sebentar
3 biji putih telur
30 gm gula castor


Cara2nya..
1. Dalam bekas, satukan gula aising, tepung gandum dan badam kisar.
2. Masukkan telur sedikit2 dan gaul sehingga adunan sebati.
3. Tambahkan butter dan gaul biar rata.
4. Dalam bekas lain, pukul dengan mixer putih telur bersama gula castor sehingga bertanduk.
5. Masukkan ke dalam adunan butter, gaul dengan spatula sehingga sebati.
6. Lenserkan loyang 8x8 inci dgn butter, lapik kertas minyak dan sapu dengan butter lagi.
7. Tuang adunan dalam loyang, bakar dalam oven yang telah di panaskan dengan suhu 180C selama 30 minit.
8. Biarkan kek sejuk, kemudian potong kepada 3 bahagian.
9. Letak kek lapisan bawah atas papan kek sudukan dengan coffee syrup.
10. Sapukan coffee buttercream pada semua bahagian kek, di ikuti dengan sapuan ganache.
11. Tindihkan kek lapisan kedua, ulang cara2 nombor 9 dan nombor 10.
12. Akhir sekali, tindihkan kek lapisan ketiga, sudukan dengan coffee syrup, di ikuti sapuan coffee buttercream ke seluruh bahagian kek.
13. Sejukkan dalam peti sejuk sehingga cream mengeras.
14. Keluarkan kek dari peti sejuk, letak kek atas redai yang di lapik dengan loyang, tuang ganache dari atas, biar ganache meleleh dengan sendiri ke seluruh bahagian kek.
15. Hias ikut kreativiti masing2, sejukkan biar ganache mengeras.
16. Potong sisi kek (jika mahu) seperti gambar. ( yg ni akak tak sempat buat, kalau buat mesti cun)


Bahan2 coffee syrup..
100 gm air panas
30 gm gula castor
1 sdb serbuk kopi segera
Cara2nya..
1. Satukan air panas dengan gula, kacau sehingga gula larut.
2. Tambahkan serbuk kopi segera dan kacau sebati.
Bahan2 coffee buttercream..
300 gm butter
80 gm gula aising - ayakkan
1 1/2 sdb coffee emulco
Cara2nya..
1. Pukul butter dan gula aising sehingga gebu.
2. Tambahkan coffee emulco, pukul lagi sehingga sebati.
Bahan2 ganache..
130 gm uht whipping cream
250 gm coklat compound - sagat halus
20 gm butter
Cara2nya..
1. Buat selepas coffee buttercream mengeras.
2. Panaskan whipping cream atas api kecil sehingga berbuih di tepi2 periuk.
3. Tutup api dan tambahkan coklat dan butter, gaul sehingga adunan semua larut.

Monday, January 14, 2013

JOM KITA BUAT KARIPAP PUSING

Assalamualaikum...Apa khabar semua? Lamaa rasanya tak bersua di alam maya ni. Apakan daya...waktu yang begitu padat tidak mengizinkan akak ke sini. Tujuan asal berblog pun memang hanya untuk mengisi masa lapang saja. Bila ketiadaan masa untuknya maka terpaksalah dilupakan sementara keinginan untuk berblog ni. Walau bagaimanapun, terima kasih diucapkan kepada sesiapa jua yang sudi menghadirkan diri anda disini... really appreciate it!!

Ok laa..berbalik pada gambar...ada tak sesape yang tak suka makan karipap pusing? Hah, memang susah nak cari orang yang tak gemarkannya betul tak! Jika betul ada yang tak suka memakannya tak payah le susah2 nak belajar membuatnya kannn..tambah pula nak buatnya perlu kerajinan yang tinggi (tu la yang I pun malas tu....) 

Tapi kalau anda gemar & tak reti jemu memakannya so apa kata jika buat sendiri. Bila buat sendiri ni rasanya dah tentu jauh lebih sedap dari yang dibeli sebab kita boleh letak apa je inti yang disukai, dapat makan banyak pulak tu kan!

Selain dari intinya yang sedap, kulit karipap pusing mestilah rangup baru le memikat selera. Lepas makan seketul, nak seketul lagi, dan lagi, payah nak berhenti jika dapat karipap pusing yang betul2 sedap.

Ada juga cara yang mudah untuk buat kulit karipap pusing ni tapi bagi I cara yang ini yang paling disukai sebab hasilnya sangat2 memuaskan, banyak lapisannya & sangat2 rangup..Actually memang ramai la jugak orang yang ingin belajar cara buat karipap pusing ni dengan akak, ada yang kata depa buat karipap pusing tak jadi sama macam akak la, lapisan tak banyak la, tak rangup la, tak cantik la & macam2 LA lagi! Iye ke depa buat tak sedap tu, cerr bagi sikit I nak rasa..ntah2 sedap jer kan!

I ni kalau orang bertanya memang sedaya upaya nak menerangkan tapi masalahnya benda ni bukannya boleh main cakap dan main lukis je ( ada jugak depa sampai suruh lukis kat kertas wakaka :)) 
Kan bagus kalau depa2 ni semua pakat mai tengok kat sini... Jom kita tengok bahan2nya...

BAHAN A

200 gm tepung gandum
100 gm shortening       
Secubit garam

BAHAN B

400 gm tepung gandum
200 gm air
Secubit garam

CARA MEMBUATNYA

DOH -A
  1. Gaulkan shortening bersama tepung gandum dan masukkan garam
  2. Uli dengan tangan sehingga betul2 sebati
  3. Bahagikan kepada 6 doh kecil. 1 doh bersamaan dengan 50 gm 
  4. Rehatkan doh dan tutup dengan tuala lembap
DOH -B
  1. Satukan tepung gandum dan garam dan masukkan air sedikit demi sedikit sambil digaulkan sehingga menjadi doh
  2. Bahagikan ia kepada 6 doh2 kecil. 1 doh bersamaan dengan 100 gm
  3. Rehatkan doh dan tutup dengan tuala lembap
Tengok gambar tu, doh kecil adalah doh A & doh besar adalah doh B yang dah siap

  1. Langkah seterusnya, canaikan doh B sehingga agak leper berbentuk bulat
  2. Letakkan doh A betul2 ditengah doh B
  3. Bentukkan menjadi satu doh iaitu doh B diluar dan doh A berada didalam doh B
  4. Tutup dengan tuala lembab & rehatkan 5 minit
  1.  Ambil 1 doh dan canaikan memanjang
  2. Guna pisau dan potong dibahagian tengahnya, jangan putus dibahagian atas, tinggalkan lebih kurang 3 cm
  3. Bermula dari bahagian bawah sekali iaitu doh sebelah kanan, gulungkan dengan kemas & padat seperti digambar

  1.  Refer gambar cara digulung, gulungkan terus menerus tanpa henti menuju ke bahagian atas & pusing ke kiri dan teruskan gulung sehingga ke penghujungnya.
  2. Pastikan gulungannya kemas dan padat 
  3. Rehatkan doh sebentar, tutup dengan tuala yang lembap supaya doh tidak kering

Beginilah bentuk doh yang sudah siap digulung sepenuhnya

  1. Apabila semua kelapan2 sudah siap, guna penggelek dan canaikan mengikut panjangnya satu persatu, ketebalan dohnya biar sederhana je. Refer gambar yg paling kiri tu..
  2. Gulungkan doh dengan berhati2, pastikan gulungannya kemas
  3. Gulung kesemuanya sehingga selesai.
  1. Guna pisau yang tajam dan potongkan setiap gulungan doh kepada 8 bahagian yang sama besarnya
  2. Kemudian canaikan satu persatu doh yang dipotong secara memanjang, refer gambar tengah..jangan canai terlalu nipis
  3. Letakkan inti karipap secukupnya di atas doh yang dicanai
  4. Tutupkan doh dengan kemas dan kelim dengan kemas disekelilingnya sehingga bercantum kesemuanya 

RESEPI INTI KARIPAP


Bahan bahannya :

6 biji ubi kentang dikupas dan dipotong dadu kecil2
Isi ayam atau daging secukupnya - dicincang kecil2
2 sudu besar rempah kari daging
1 labu bawang besar dipotong dadu
1 tangkai daun kari
Garam secukup rasa
Sedikit gula

Bahan kisar :
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1 sudu besar udang kering (jika suka)

CARA MENYEDIAKANNYA
  1. Rebuskan ubi kentang yang dipotong dadu sehingga 3/4 empuk, toskan
  2. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bawang besar yang dipotong dadu & daun kari sehingga layu diikuti bahan kisar, kacau2kan dan biarkan sehingga kekuningan
  3. Kemudian masukkan rempah kari, masukkan sedikit air jika terlalu kering, biar rempah garing dulu
  4. Diikuti dengan isi ayam atau daging, kacau2kan biar sebati dan tunggu sehingga ayam atau daging betul2 masak
  5. Masukkan ubi kentang yang telah direbus tadi, kacaukan biar sebati dengan rempah
  6. Sesuaikan rasa dengan garam dan sedikit gula dan masak sehingga betul2 kering.

 

  1. Apabila semua sudah siap, bolehlah digoreng
  2. Panaskan minyak dalam kuali, minyak haruslah banyak dan betul2 panas
  3. Masukkan satu persatu kedalam kuali, jangan goreng terlalu banyak karipap pada satu masa
  4. Biarkan karipap sehingga berwarna keemasan barulah diterbalikkan dengan menggunakan sudip
  5. Jangan diterbalikkan sekiranya masih putih sebab nanti karipap akan pecah & tak cantik rupanya
  6. Apabila sudah diterbalikkan kesemuanya tunggu sehingga kesemua karipap garing. Angkat dan toskan dan sedia untuk dinikmati bersama keluarga.

Sunday, December 23, 2012

KEK FONDANT BIRU 3 HARI 2 MALAM

Assalamualaikum....Anda semua apa khabar? Didoakan moga2 semuanya sihat sejahtera dan diberkati Allah dalam apa jua yang anda lakukan. Nampaknya baru berkesempatan menjengah ke sini..Kesibukan dengan macam2 hal, ada masanya seperti memaksa diri untuk menyempurnakan sesuatu tugasan.

Semalam betul2 semput menyediakan 2 tempahan. Untuk makan tengahari seramai 200 orang & makan malam seramai 100 orang. Actually I memang kurang setuju untuk terima 2 customer on the same day tapi memandangkan yg order untuk sebelah malam adalah Penghulu Tapah so terima sajalah walaupun kepenatan memasak untuk yang sebelumnya belum lagi hilang. 

Ya! Memang penat...tapi itulah realitinya sebagai seorang tukang masak. Macam akak ni boleh la gelar tukang masak yang always happy..Sebab penat memasak macamana pun rasa happy & puas bila berjaya siapkan dengan sempurna tugasan memasak tersebut. Apabila ada minat, pasti boleh melakukannya... 


So, berbalik pada cerita disebalik gambar ini. Kek fondant untuk hantaran perkahwinan my adik ipar..huishhhh 3 hari 2 malam menyiapkannya disebabkan tukang buatnya bukanlah seorang yang pakar. Kek ni bila dah siap tu takde lah sebesar mana tapi beratnya melebihi 2 kg sebab keknya adalah kek buah2an. 

Menggunakan resepi yang sama untuk fondant unfortunately agak mengecewakan apabila gula aising yang dibeli dari kedai yang berbeza telah menyebabkan fondant berderai & sukar dibentuk. Adakah akak menyalahkan gula aising sebab nak cover diri sendiri, absolutely tidak...Sebelum ni akak pernah terdengar & terbaca yang jika salah beli gula aising akan menimbulkan masalah & akhirnya akak yang mengalaminya sendiri. Takkan beli lagi gula aising kat kedai tu jika nak buat fondant....



Seronok tau kerja menghias kek ni...sape2 yang pernah buat je yang tahu keseronokannya walaupun sampai tak cukup tidur tapi jika ada minat tiada masalah. Nampak macam senang? Tapi hakikatnya ia memerlukan kesabaran yang tinggi. Kalau yang tak cukup sabarnya tu lebih baik jangan cuba2 nak buat, nanti kena campak ke dinding pulak kek tu kan sayang je kan!  :))


Wednesday, December 5, 2012

AYAM MASAK TANJUNG

Assalamualaikum...Dalam kesibukan macamana sekali pun, memasak tak dapat ditinggalkan. Tambahan lagi waktu cuti sekolah begini, anak2 asyik mengulang makan kerjanya. Budak2 tengah nak membesar ni, macam tu lah kan! 

Ayam masak tanjung ni adalah kali kedua akak memasaknya & salah satu menu yang digemari. Masakan kering sebegini memang sedap apalagi jika digandingkan dengan nasi minyak. Cerita banyak pun tak guna, apa kata tengok je resepinya di bawah ini. Selamat mencuba...:))

SUMBER : CHEF KAMARUL

BAHAN BAHANNYA

1 ekor ayam - dipotong kecil (digoreng dengan kunyit dan garam)
2 batang serai - titik
2 sudu besar rempah kari daging
1 tangkai daun kari
2 cm belacan
1 sudu besar kerisik
1 sudu besar gula melaka
3 sudu kecil cili kisar
1 sudu kecil kicap pekat
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar minyak masak - untuk menumis
400 ml santan pekat
150 ml air
Garam secukup rasa

BAHAN TUMIS

2 labu bawamg besar - kisar
5 ulas bawang putih - kisar
2 cm halia - kisar

BAHAN REMPAH

2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
3 cm kulit kayu manis

CARA MENYEDIAKAN :


  1. Di dalam kuali, panaskan minyak dan masukkan bahan tumis.
  2. Masukkan daun kari, rempah kasar dan serai. Tumis sehingga naik bau.
  3. Masukkan cili kisar,biarkan masak seketika.
  4. Kemudian masukkan serbuk kari yang telah dicampur sedikit air.
  5. Selepas itu, masukkan kicap pekat, sos tiram, sos tomato dan gula melaka dan kacau rata.
  6. Masukkan pula belacan dan kerisik. Tuangkan santan, dan kacau dengan api yang perlahan.
  7. Masak sehingga rempah betul-betul sebati dan pecah minyak. Tambahkan garam secukup rasa.
  8. Selepas itu masukkan ayam, kacau perlahan-lahan. Pastikan ayam dimasak sebati dengan kuah.


Sunday, December 2, 2012

TAK ABIS2 LAGI KE DENGAN CREPE DURIAN ?


Assalamualaikum, Yuppp...begitulah nampaknya. Tak abis2 lagi dengan crepe nan satu ini & anak2 macam tak reti jemu menghadapnya.  Kan dah citer aritu kat rumah akak ni dah ditimbuni dengan buah2 durian. So, crepe durian manjang le, selagi ada request from my children apa salahnya...bukannya susah pun nak buat kan!

I gunakan resepi yang pernah digunakan sebelum ini. Selain dari inti kastad durian tu, I tambah pula isi durian yg fresh didalamnya. Meaning ada 2 inti la konon2nya...1 inti yg dah dicampur whipping cream and 1 lagi inti yg betul2 isi durian saja.

 Kali ni buat saiz yang agak besar2. Baru susun 3 ketul dah penuh 1 pinggan tu. Bila anak2 nak makan, depa pandai2 la potong sendiri. Memang pun buat especially for them.  Ok lah ya, sebenarnya ada banyak kerja sedang menanti akak tu. Bagi anda yang ingin mencuba, boleh semak resepinya di bawah ya...:))


SUMBER : KAK WAN @ CITARASAWAN

Bahan Dadar

  • 100 gm tepung gandum
  • 1/4 sudu teh garam
  • 3 biji telur di pukul ringan
  • 250ml susu cair
  • 1 sudu besar mentega cair
  • beberapa titik pewarna kuning

Cara-cara Membuat Dadar :
  1.  Satukan bahan dadar dan whisk hingga rata, kemudian tapis.
  2. Panaskan kuali non-stick kecil tanpa perlu meleserkannya dengan minyak, ambil satu sendok adunan dan buat dadar yang nipis.  Pastikan setiap kali menuang adunan, kuali di angkat dari dapur supaya tidak hangus.
  3. Biarkan bahagian bawah masak, kemudian terus angkat dan terbalikkan dengan permukaan yang licin berada di bawah.  Buat hingga habis.
Inti (1) Yg ini saya tambah :

Ambil beberapa ulas durian, asingkan isinya dari biji. Ambil isinya sahaja

Inti (2) :
  
Inti Kastard Durian
  • 250ml susu cair
  • 2 sudu besar tepung jagung
  • 2 sudu besar gula pasir
  • 1/4 sudu teh garam
  • 1 kuning telur
  • 150gm isi durian
  • 2 cawan whipping cream (yg ni saya tambah)
CARA MENYEDIAKAN INTI KASTAD :
  1. Larutkan tepung jagung dan susu segar hingga rata.  
  2. Kemudian satukan dengan bahan-bahan yang lain di dalam periuk dan masak hingga inti menjadi kental.  Sejukkan dahulu di dalam fridge.
  3. Putar whipping cream hingga betul2 kental
  4. Campurkan krim kastad ke dalam whipping cream dan putar sekali lagi sampai sebati
CARA PENYEDIAAN CREPE DURIAN :

Letak 2 sudu kecil inti kastad durian di bahagian tengah dadar, letak pula 1 sudu kecil isi durian diatasnya, letak lagi 2 sudu inti kastad durian diatas isi durian dan lipat seperti biasa dengan permukaan yang licin di bahagian luar.


MY FIRST PUMPKIN

Assalamualaikum...Salah satu sebab kenapa akak berminat dgn gardening adalah perasaan (bukan perasan ok!) apabila melihat tanaman mula membesar & berhasil. Tapi bukan semua tanaman boleh berbuah begitu saja. Dah cuba tanam kacang panjang, jagung, cili, semua senang2 je berbuah. Tapi labu...tak pernah menjadi. 

Boleh kata tiap2 pagi I akan melawat pokok2 labu, intai2 mana la tahu  ada buah yang menjadi. Pokok2 labu tumbuhnya bukan main subur menjalar. Memang tak dinafikan benih labu antara yang paling senang bercambah menjadi pokok. Pantang ditabur aje, selang beberapa hari tumbuhlah anak2 pokoknya. Dari seminggu ke seminggu ia membesar, maka muncullah pula bunga2nya yang kekuningan. Cantik bunga labu ni..tengok di bawah tu....


Tapi setakat melihat bunga2nya yang cantik tu saja la. I memang hairan kenapa bunga2 labu semuanya layu & mati begitu saja..takde satu pun yang survived. Faham2 je la I ni baru nak belajar ilmu2 berkebun ni, memang banyak yg tak tahu. 

Alhamdulillah, akhirnya segala persoalan tentang labu telah terjawap setelah akak bertemu blog Ummuaidan. Terima kasih akak ucapkan atas info yang dikongsikan tu. Kalau nak tahu dgn lebih detail sila klik AKU DI FIJI ISLAND
Memang excited & tak sabar2 nak try cara yang Ummuaidan praktikkan tu. Kebetulan tengah ada bunga2 betina & jantan so, the next morning terus cuba and the result memang tak mengecewakan. 

The first step anda kena identify dulu yang mana satu bunga betina & yang mana jantan. Kalau ini pun fail jgn nak berangan boleh jadi labu ya...Macam I ni boleh la nak berlagak sikit konon2nya sebab dah kenal walaupun pada hakikatnya baru2 ni je kenal...hehe
 Tengok di gambar atas...tu bunga betina. Jika proses pendebungaan berlaku pada bunga ni, Insya Allah labu akan membesar...


Nampak tak di bahagian belakang bunga tu ada sebiji buah labu kecil?Bahagian inilah yang akan membesar nanti. So, macamana proses pendebungaan ni boleh berlaku? Waktu sekolah rendah pun ada belajar subject Sains kan...antaranya ia boleh berlaku dengan bantuan haiwan, serangga, angin & air.

Dah jelas kan, bunga2 labu I semua tak berjaya didebungakan dengan bantuan di atas. Mungkin disebabkan kedudukan bunga betina & jantan yang terletak jauh antara satu sama lain yang tak memungkinkan pendebungaan terjadi secara nature. Jalan lain untuknya adalah membuat pendebungaan sendiri secara manual.


Bunga yang di atas ni bunga jantan. Kalau dilihat bahagian tengahnya ada debunga2 halus berwarna kekuningan. Gunakan berus lukisan dan sapukan dibahagian debunga sehingga ia melekat sebanyak mungkin pada berus. Kemudian ia dipindahkan ke bahagian tengah bunga betina sehingga melekat kesemuanya.

Tunggu beberapa hari & sekiranya pendebungaan itu telah berjaya bunga betina akan menguncup maka proses pembesaran buah labu kecil itu sudah bermula.

Dengan ilmu tersebut akhirnya akak berjaya dapat 2 buah labu. Jika anda lihat bentuknya memang berbeza antara satu sama lain kan! Sebab ia tumbuh dari biji2 labu yang akak main campak je setiap kali beli labu. Seronok pantau perkembangan buah2 labu ni.

Dah rezeki, labu yang dihasilkan adalah sebesar ini saja. I pun tak sure bila waktu yang sesuai nak harvest labu ni. Tunggu punya tunggu, kulit labu pun dah semakin kuning..so, akak pun petik je. 
Bila dibelah labu ni gembiranya hati dapat tengok isi labunya cukup tebal & warna isi pun cantik kuningnya. Rasa labu ni pun manis & isinya lembut & gebu. Sesetengah labu ada yang isinya kasar kan..tapi my first pumpkin tak mengecewakan.
Cuma kalau la labu I dapat membesar lagi...mungkin tak cukup baja kot!

Masakan lemak labu adalah favourite anak2 I.  Suka sangat la depa kalau makan berkuah2 begini. Senang jaga betul anak2 I ni...bagus3 ;-) Cara memasaknya pun simple je tapi ada juga resepinya di bawah ni ya....


LABU MASAK LEMAK

BAHAN BAHANNYA

Labu dipotong sederhana besarnya
Beberapa batang chinese leek dikerat2 pendek
1/2 bawang besar dimayang nipis2
Seulas bawang putih dihiris halus2
Sebiji cili merah dipotong nipis2
Segenggam udang kecil
Semangkuk santan sederhana pekat
1/2 mangkuk santan cair
1/2 sudu teh garam
Sedikit gula

CARA MENYEDIAKANNYA 
  1. Campurkan potongan labu dengan santan cair dalam periuk dan rebuskan sehingga isi labu menjadi empuk. Keluarkan dulu isi labu & ketepikan.
  2. Campurkan santan pekat, bawang besar, bawang putih, cili merah & udang kedalam periuk yang sama. Api sederhana & biarkan kuah santan mendidih sambil dikacau2 selalu
  3. Masukkan chinese leek, diikuti dengan isi labu yang sudah empuk tadi. Kacau2kan
  4. Sesuaikan rasanya dengan memasukkan garam dan sedikit gula. Biarkan ia mendidih sebentar saja dan padamkan api. Sedia untuk dihidangkan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...