Showing posts with label SOTONG. Show all posts
Showing posts with label SOTONG. Show all posts

Wednesday, March 7, 2012

SOTONG KICAP BEREMPAH


Assalamualaikum...Semenjak dua menjak ni agak sibuk sampai tak berkesempatan menjenguk ke sini. Sebelum ditinggalkan lebih lama sampai hilang mood nak berblog, baik akak masukkan n3 sotong ni ha..Sesetengah orang tak boleh makan sotong sebab akan timbul rasa alahan gatal, ada yang alergik, takut gout dan mcm2 lagi. Tapi bagi akak sekeluarga masakan seafood mcm sotong, ketam, udang ni selalu ada dalam menu harian. 

Bagi akak makanan bukannya pemberi masalah, cuma kita yang memakannya haruslah berpada2. Cukuplah jamah 2 - 3 ketul, jangan la makan sampai tak ingat, makan cam gitu baru la boleh mendatangkan penyakit pada diri sendiri. Dan bila dah datang penyakit langsung kita dah tak berpeluang lagi menikmati makanan2 sebegini sebab terpaksa berpantang makan pulak.

Baiklah, bagi penggemar masakan sotong seperti famili akak boleh tengok resepinya di bawah ini ya...Selamat Malam.. :))


BAHAN BAHAN

  • 12 ekor sotong sederhana besar (dibersihkan & ditoskan)
  • 2 sudu besar rempah kari ikan
  • 1 mangkuk santan sederhana pekat dari 1/2 biji kelapa
  • 3 sudu besar kicap lemak manis
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 tangkai cili merah dibelah tengah
  • 3 tangkai cili hijau dibelah tengah
  • 2 helai daun limau purut
  • Garam secukup rasa
  • 1/4 air asam jawa
BAHAN PENUMIS
  • 1 labu bawang besar dihiris nipis
  • 2 ulas bawang putih dihiris nipis
  • 1 cm halia dihiris nipis
  • 1 batang serai diketuk2
  • 1 tangkai daun kari

BAHAN BAHAN DIKISAR BERSAMA
  • 5 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 cm halia

CARA MEMBUATNYA

  1. Mula2, panaskan 2 sudu minyak masak dan tumiskan bahan2 penumis sehingga naik baunya
  2. Kemudian masukkan bahan2 kisar, diikuti dengan rempah kari, kacau2kan biar sebati dan biarkan rempah agak garing. Jika rempah terlalu kering, masukkan sedikit air
  3. Apabila rempah dah garing, masukkan kicap lemak manis & sos tiram, kacau lagi
  4. Diikuti dengan santan, kacau2kan dan apabila kuahnya hampir mendidih masukkan cili merah & cili hijau, garam dan air asam jawa, biarkan kuah mendidih & menjadi agak pekat
  5. Yang terakhir baru dimasukkan sotong yang sudah ditoskan sehingga betul2 kering airnya, kacau2kan sekejap, apabila kuahnya telah mendidih sekali lagi boleh la terus ditutup api, jangan masak sotong terlalu lama sebab ia akan jadi keras & liat. Sedia untuk dihidangkan



Thursday, November 3, 2011

SOTONG LEMAK PUTIH HIRISAN


Assalamualaikum...Tengahari ni hujan lebat, Alhamdulillah...nyaman rasanya setelah beberapa hari cuaca yang agak panas tak menentu. Lega betul bila berada di dapur dalam cuaca yang kedinginan ni. Lauk pun dah siap dimasak semuanya. Tengahari ni kita makan sotong...Sotong masak lemak ni adalah masakan yang selalu emak akak masak time dulu2. Kalau ada lauk ni mesti digandingkan pulak dengan ikan cencaru sumbat sambal. Emmmm...teringat2 masakan emak, memang terbaikkk!!!

Tak dapat lama disini sebab masih banyak lagi kerja sedang menanti. Di bawah tu akak sertakan resepi yang agak simple tapi Insya Allah tidak mengecewakan... :))


BAHAN BAHAN

  • 12 ekor sotong (dibersihkan seperti biasa, potong kepada beberapa bahagian & toskan)
  • 4 ulas bawang merah dihiris nipis
  • 3 ulas bawang putih dihiris nipis
  • 1 inci halia dihiris nipis potongan mancis
  • 2 cili merah dihiris nipis potongan serong
  • 2 batang serai dihiris halus2
  • 2 biji tomato dibelah 4 setiap satunya
  • 1 mangkuk santan pekat (diperah dari sebiji kelapa bersaiz agak besar)
  • 1 sudu teh gula
  • Garam secukup rasa
  • 2 sudu besar minyak masak untuk menumis

CARA MEMBUATNYA
  1. Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan2 hirisan (kecuali cili merah) sehingga agak layu & kekuningan
  2. Dengan api sederhana, masukkan santan pekat dan kacau2kan sebentar
  3. Apabila santan mula mendidih terus masukkan cili merah & buah tomato, kacau lagi dan masukkan pula sotong yang sudah betul2 tos airnya
  4. Masukkan gula dan garam secukup rasa dan kacau sebati, kuahnya harus dikacau, jangan sampai pecah minyak..
  5. Setelah beberapa minit sotong sudah pun masak dan tutup api segera. Jangan masak sotong terlalu lama kerana ia akan jadi liat & kecut.

Friday, August 12, 2011

SOTONG RANGUP BERSALUT TOMYAM


Assalamualaikum....Sotong goreng ni akak buat untuk iftar semalam, menu kesukaan anak2. Dah selesai makan dengan nasi, depa berpakat meratahnya beramai2 pulak. Akak pun sengaja buat lebih, biar dapat diratah sambil dicicah dengan sos. Akak goreng pun dah hampir2 waktu berbuka, memang rangup sangat & sedap, especially rasa tomyam tu memang kena je dengan sotong ni.

Ok, bagi sesiapa yang dah kehabisan idea nak masak apa dengan sotong boleh lah cuba buat sotong goreng ni, gerenti disukai ramai..Selamat mencuba.... :)


BAHAN BAHANNYA
  • 12 ekor sotong (disiang seperti biasa & ditoskan)
  • 1 sudu besar serbuk lada sulah
  • 1 kiub pati tom yam
  • 1 sudu teh serbuk cili kisar
  • 3 sudu besar tepung beras
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 3 ulas bawang putih dikisar
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Garam secukup rasa
CARA MEMBUATNYA
  1. Potong sotong kepada beberapa bahagian. Masukkan ke dalam kuali dan biarkan sebentar sambil dikacau2 sehingga keluar air sotong. Angkat sotong, keluarkan dari airnya
  2. Lumurkan sotong tadi dengan serbuk kunyit & sedikit garam  sehingga betul2 rata
  3. Campurkan kesemua bahan2 lain diatas dengan sedikit air dan kacau biar betul2 sebati. Adunan agak pekat & jangan cair
  4. Gaulkan adunan tepung dengan sotong sehingga betul2 sebati dan perapkan selama 1/2 jam
  5. Panaskan minyak dan gorenglah sehingga sotong berwarna keemasan dan garing
  6. Angkat & toskan minyaknya. Sedia untuk dihidangkan.
 

Tuesday, August 2, 2011

SOTONG MASALA


Assalamualaikum....Didoakan semoga kita semua dikurniakan Allah kesihatan yang baik & mantap sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini. Terima kasih buat teman2 yang sudi singgah, Insya Allah sekiranya ada kesempatan akak akan berkunjung balas yea...

Emmm...dah lama tak mengintai dapur kawan2, dalam bulan puasa ni tentu anda semua lebih bersemangat memasak pelbagai menu untuk dijadikan hidangan keluarga untuk berbuka puasa kan! Beruntung lah sangat anak2 & suami yang mendapat isteri yang sanggup turun ke dapur memasak, tambah lagi jika isteri yang berkerjaya...Sememangnya banyak juadah yang boleh dibeli di pasar Ramadhan tapi mana boleh lawan dengan air tangan isteri tercinta, betul tak?

Sotong masala sesuai juga dimakan dengan nasi minyak atau nasi biryani. Ada sesetengah orang dah muak berlaukkan ayam ataupun daging, so boleh la tukar selera kepada sotong pula. Udang pun sesuai dimasak begini...Resepi ada di bawah..jika ada yang teringin nak mencuba, sila lah....

BAHAN BAHAN
  • 1 kg sotong sederhana besar (dibersihkan & ditoskan)
  • 1 sudu besar garam masala
  • 1 sudu besar rempah kari ikan
  • 1 sudu teh serbuk cili
  • 1/2 sudu teh jintan manis
  • 1/2 sudu teh jintan putih
  • 1 bawang besar dihiris nipis
  • 1 batang serai diketuk
  • Rempah 4 sekawan (1 kulit kayu manis, 2 bunga lawang, 3 pelaga & 4 cengkih)
  • 12 ulas bawang merah dikisar
  • 6 ulas bawang putih dikisar
  • Seinci halia dikisar
  • 1 tangkai daun kari
  • 2 buah tomato dibelah 4 setiap satu 
  • 2 biji cili hijau dibelah tengah
  • 1/2 cawan air asam jawa
  • 1 sudu besar gula
  • Garam secukup rasa
CARA MEMBUATNYA
  1. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan rempah 4 sekawan, daun kari, hirisan bawang besar & serai sehingga agak layu
  2. Masukkan semua bahan kisar seperti bawang merah, bawang putih & halia dan kacau2kan sebentar
  3. Diikuti dengan rempah kari, garam masala, serbuk cili, jintan manis & jintan putih, kacau2kan sehingga agak garing
  4. Masukkan pula air asam jawa & belahan tomato & cili hijau, kacau biar sebati
  5. Tunggu sehingga kuah agak pekat barulah dimasukkan sotong, kuatkan api & kacau sekejap biar mesra dengan kuahnya
  6. Terakhir baru masukkan gula dan sedikit garam, kacau lagi sebelum ditutup api, sotong janganlah masak terlalu lama. Sedia untuk dihidangkan

Thursday, May 12, 2011

SOTONG GORENG KUNYIT BERLADA

Assalamualaikum...Sotong ni salah satu menu yang dimasak tengahari tadi. Nasib baik cepat siap memasaknya, dapatlah cikgu2 semua jamu selera makan nasi dengan sotong tu..Customer akak memang majoritinya cikgu..hari ni cikgu2 semua pakat datang awal pulak, normally depa semua tiba 1-2 petang, hari ni seawal 12.30 tghari dah sampai..Rezeki depa la dapat makan sotong yang fresh2 ni, panas2 lagi pulak tu...Terharu rasanya bila tengok cikgu2 ni setiap hari datang makan atau bungkus lauk pauk tanpa jemu2, terima kasih Cikgu...Bila ada customer yang sebegini lah yang membuatkan akak lebih bersemangat memasak setiap hari. Insya Allah kalau makan di sini, menu masakan setiap hari adalah berbeza. BAHAN BAHAN
  • 1 kg sotong putih
  • 2 papan petai (diambil isinya)
  • 3 biji ubi kentang dikupas & dihiris nipis
  • 3 biji tomato dibelah 4 setiap satu
  • 2 biji cili merah dihiris memanjang
  • 1 labu bawang besar dihiris bulat
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar sos ikan
  • Serbuk kunyit secukupnya
  • 1 sudu besar lada sulah
  • 1 sudu besar gula
  • Garam (jika perlu)

BAHAN YANG PERLU DIKISAR

  • 8 ulas bawang merah
  • 6 ulas bawang putih
  • Sedikit halia
  • 10 biji cili padi

CARA MEMBUATNYA

  1. Sotong dibersihkan seperti biasa & ditoskan terlebih dahulu
  2. Gaulkan sotong dengan serbuk kunyit secukupnya & serbuk lada sulah dan ketepikan dulu
  3. Panaskan minyak anggaran 2 senduk besar dalam kuali dan goreng ubi kentang sehingga empuk, angkat & ketepikan dulu
  4. Goreng pula sotong dengan api yang kuat sehingga masak dan terus angkat sotong, jgn goreng lama sangat
  5. Dengan lebihan minyak yang ada, tumiskan bahan kisar sehingga naik aromanya, masukkan sos tiram & sos ikan dan gaul sebati
  6. Masukkan tomato, cili merah & bawang besar diikuti isi petai dan kacaukan sebentar
  7. Terakhir baru masukkan sotong goreng tadi, kacau sekejap & masukkan ubi kentang, gula & garam secukup rasa, kacau2kan lagi biar rata
  8. Apabila sudah bergaul rata, boleh la ditutup api & sedia untuk dihidangkan.

Wednesday, January 19, 2011

SAMBAL TUMIS SOTONG BEREMPAH

Assalamualaikum semua....Baru je selesai solat Maghrib, lepas ni nak ngajar si kecik2 mengaji, lepas tu nak jadi guru tuisyen buat yang si abang2 pulak. Macam tu la hari2...sebagai emak ni kalau kita lalai anak2 lagi la jauh terlalainya. Sambil tunggu depa turun sempat la jugak akak curi masa mengadap blog ni.. Sambal sotong yang memang menjadi pujaan hati. Suka la masak sotong ni sebab anak2 semua suka makan. Kalau kena dengan nasi lemak lagi la..sepinggan nasi lemak memang tak cukup...Ho ho...askar2 akak semua dah turun tu, tak boleh la lama2 kat sini nampaknya. Resepi akak letak di bawah seperti biasa... BAHAN BAHANNYA
  • 1kg sotong dibersihkan & ditoskan
  • 3 sudu besar cili kering kisar
  • 1 sudu besar rempah kari ikan
  • 10 ulas bawang merah *
  • 5 ulas bawang putih *
  • 2cm halia dikisar *
  • 1 batang serai dikisar *
  • Belacan sebesar ibu jari *
  • 3 biji ubi kentang dikupas kulitnya & dipotong nipis
  • 2 biji tomato dibelah 4
  • 1 labu bawang besar dihiris bulat
  • 2 sudu besar gula
  • Sedikit garam
  • 3 sudu makan santan pekat

(bahan bertanda * dikisar bersama2)

CARA MEMBUATNYA

  1. Panaskan minyak masakan secukupnya dan goreng ubi kentang sehingga kekuningan dan ketepikan dulu
  2. Kurangkan sedikit minyak tadi hingga tinggal sebanyak 3 sudu makan dan tumiskan semua bahan kisar sehingga kekuningan
  3. Masukkan cili kering & rempah ikan, kacau2kan dan tunggu sehingga agak garing
  4. Masukkan sotong yang dah ditoskan, kacau lagi supaya rata
  5. Diikuti santan pekat, tomato, bawang besar, garam dan gula dan kacau lagi
  6. Terakhir sekali baru masukkan ubi kentang yang siap digoreng tadi
  7. Apabila sudah sebati semuanya dan secukup rasa boleh la ditutup api dan sedia untuk dihidangkan
  8. Jangan masak terlalu lama, nanti sotong mengecut dan rasanya agak liat.

Sunday, October 31, 2010

SOTONG MASAK PADANG

 
Salam pagi Ahad buat semua yang datang menjenguk ke sini. Tuannya pun baru sempat datang menjenguk ni disebabkan kesibukan di tahap melampau...Bisnes sendiri ni macam tu la, kalau duduk lazy2 je sendiri la susah. Tapi walau macamana pun, Alhamdulillah sebab akak dah buat pilihan tepat bila berhenti dari bank dulu. Bagi akak kerja sendiri ni memang sejuta kali (bukan seribu kali tau!!) lebih baik dari kerja makan gaji. Usah dipandang dari segi material saja, pandang la jugak dari sudut kekeluargaan dan anak2 yang sememangnya memerlukan emak disisi, bukan bibik, bukan babysitter! Cuma sekarang akak kena fokus...pertingkatkan usaha untuk dapatkan balik gaji yang dah hilang selama ni..Insya Allah!

Teringat time kerja mkn gaji sanggup kerja teruk2 untuk bank, bila tak achieve target kena pulak bancuh dengan org atasan, huissh serik bila kenang waktu dulu2. Sekarang bisnes sendiri kita ada power untuk tentukan cara kita sendiri...tak payah dengar cakap2 orang, tak payah ikut telunjuk orang. Wah! Akak membebel...cukup3, ni la sotong yang akak baru masak tadi untuk hidangan tengahari ni. Tengok tu masih berasap asap lagi. Lepas Zohor baru kami makan, so biar sotong2 ni posing dulu kat sini. 


BAHAN BAHANNYA
  • 1 kg sotong yang agak besar (dibersihkan dan toskan)  
  • 6 ulas bawang merah *  
  • 3 biji bawang putih * 
  • 6 biji cili merah *  
  • 2 biji buah keras * 
  • 2 cm kunyit hidup * 
  • 2 hirisan lengkuas  
  • 1 sudu teh serbuk ketumbar  
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan manis  
  • 1 mangkuk santan sederhana pekat 
  • 2 tangkai daun limau purut 
  • 1 batang serai diketuk2 
  • Sehelai daun kunyit dicarik2 
  • Garam secukup rasa
 CARA MEMBUATNYA
      1. Bahan2 bertanda * dikisar halus dan tumiskan dengan sedikit minyak hingga kekuningan
      2. Masukkan serai, lengkuas, serbuk ketumbar dan jintan manis 
      3. Jika agak kering tambah sedikit air dan tunggu hingga naik bau rempahnya
      4. Masukkan santan, tunggu mendidih lalu masukkan sotong
      5. Akhir sekali masukkan daun limau purut, serai, daun kunyit dan garam secukup rasa
      6. Bila dah mendidih sekali lagi boleh la tutup api, jangan masak lama2 nanti sotong kecut dan liat, tak best...
      7. Sedia untuk dihidangkan

        Sunday, May 9, 2010

        SAMBAL TUMIS SOTONG KEMBANG

        • Dah lama rasanya tak makan sotong kembang. Tiba2 teringin la pulak..so apalagi akak pun tinjau stok dlm freezer maka terjumpalah sotong2 kembang yang kebekuan. Dalam masa 1/2 jam dah siap. Normally hari Sabtu & Ahad kami akan kurangkan sedikit hidangan lauk pauk atas faktor bukan hari bekerja tapi hari ini bukan saja hubby, akak pun terlebih rajin pulak. Selain nasi beryani ayam & sotong kembang ni, lauk pauk lain adalah ayam masak merah, kari ayam, kurma telur, acar ikan keli, pecal, ayam goreng berempah, daging black pepper, masak lemak nangka muda ikan kering, sawi tumis dan dalca ayam. Ni resepi sambal sotong yang akak masak hari ini...

        Bahan bahannya

        • 3 ekor sotong kembang
        • 3 senduk cili kering yg dikisar
        • 12 biji bawang merah )
        • 1 biji bawang besar )
        • 6 biji bawang putih ) dikisar
        • 2 inci belacan bakar )
        • 3 biji buah keras )
        • 2 sudu makan santan pekat
        • 3 biji tomato dibelah 4
        • 1/2 cawan air asam jawa
        • 3 sudu makan gula
        • 1 sudu teh garam
        • Minyak untuk menumis

        CARA MEMBUATNYA

        1. Sotong di potong ikut sesuka hati kita. Macam akak potong yg kat dlm gambar tu lah..
        2. Dah dibersihkan toslah kering2.
        3. Masukkan ia dalam kuali dan masaklah sehingga keluar semua air sotong.
        4. Kacau2kan dan bila dah kering airnya keluarkan sotong tu.
        5. Tumiskan bawang2 , belacan & buah keras hingga garing
        6. Masukkan cili kisar, tambah air sikit dan masak perlahan2
        7. Bila dah pekat baru masukkan sotong diikuti tomato dan air asam jawa.
        8. Akhir sekali masukkan gula dan garam secukup rasa. Tak perlu tunggu lama sebab sotong memang dah masak. Kalau terlebih masak sotong akan jadi keras macam getah.

        LinkWithin

        Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...