Wednesday, March 30, 2011

13 TAHUN UMURNYA...MAMA MASIH TERINGAT2 :)

30hb Mac 1998 lahirnya putera akak yang kedua, Ameenul Husainy. Dah 13 tahun umurnya. Seorang anak yang sentiasa ceria & boleh bercakap tanpa henti 24 jam. Di rumah ni dia la tukang buat lawak. Kalau pasal menyakat adik2 pon boleh tahan jugak, sampai mama pun naik geram..grrrrr!!! Dia ni jugak peminat no 1 blog Dapur Azlina tau, apa yg akak update semua dia nak baca, semua dia nak tau, sampai bloglist akak pun habis semua dia terjah...Tapi yang satu lagi ni, mama betui2 tak tahan, suka sangat menyanyi..tak kira siang & malam, tak suka3 

Teringat saat kelahirannya 13 tahun lalu. Kebetulan hari tu adalah hari untuk check up di klinik bersalin Ipoh. Patutnya due 2 minggu lagi. Habis kerja terus ke Ipoh, selesai semua dah malam, sempat pergi makan pizza. Lepas makan, elok je masuk kereta perut memulas2 ingatkan dek pizza & makanan lain. Kebetulan dah malam terus je balik ke Kampar. Rasa semakin menjadi2 pulak sakitnya, terus hantar anak sulung ke rumah mak akak. Hubby ajak check kat hospital Kampar. Sampai disitu, akak takut pulak nak keluar kereta, confident sangat bukan nak beranak lagi, kan lambat lagi..x abis2 ingat tersalah mkn. Terus hubby drive ke Ipoh nak cari klinik swasta, konon nak check apa penyakitnya. Masa tu kat Kampar takde klinik 24 jam.
Sampai di klinik 24 jam, masa tu pun dah pukul 3-4 pagi...doktor pun malas nak layan akak. Senang je dia cakap..u tak de sakit apa2, u dah nak bersalin ni...So, cepat2 lah u pergi tempat mana u nak bersalin sebelum u terbersalin disini...hik3..mcm tu la kata doktor tu...So, bergegas la kami ke klinik bersalin tanpa membawa sebarang persiapan. Doktor pun tegur akak, aik petang tadi baru je jumpa dah jumpa lagi. Tak sampai sejam hero yg ke2 pun selamat dilahirkan. Dengan keadaan akak yg sehelai sepinggang, beg baby pun tak sempat siap, kesian baby kena pakai baju klinik..
Semasa awal tahun dapat peluang masuk ke sekolah berasrama tapi terpaksa akak tolak. Teringat masa tu surat tawaran sampai di sekolah dia, beria2 dia tunjuk kat akak, nak sangat dia masuk asrama. Teruk juga merajuknya sampai ke malam baru keluar bilik & makan nasi. Maafkan mama ya kerana tak mengizinkan Angah ke asrama. Takut nanti jadi sama macam Along, masuk asrama sebulan lepas tu dah mintak berhenti sebab dah tak sanggup hidup di sana. Insya Allah, masih ada peluang di masa hadapan. Bersedia melepaskan Angah selepas PMR nanti....

SELAMAT HARI LAHIR & SEMOGA CENY MENJADI ANAK SOLEH IDAMAN MAMA & BABAH...JAGA SOLAT, JAGA PERIBADI...
KEK HARIJADI KENA TUNGGU MALAM NANTI...MAMA NAK CARI ILHAM DULU YEA...

Tuesday, March 29, 2011

CUSTARD TEACAKE WITH DURIAN FILLING

Assalamualaikum...dah macam habit pulak asal pukul 1 pagi nak update n3. Nak buat camne dah tuntutan kerja yang bertimbun2 memaksa akak mendahulukan apa yang lebih penting. Ehhh, blog ni pun penting cuma emmmm tak pe lah, takyah citer la kat sini. 
 
Ni lah custard tea cake akak yang fresh from the oven. Start baking lepas Maghrib, siap sejam kemudian. Tunggu punya tunggu kek ni sejuk, rakyat ramai yg dah titon..So, baru jap tadi akak potong, ada yang setia menunggu sejak tadi. Kira 4 potong je abis arini. To be continued tomorrow...whhhhheeee... Dah lama bersabar tengok sana sini sinun semua dah buat kek ni. Malam ni berjaya jugak merasa. Alhamdulillah, sempat jugak membaking & sempat jugak bw kejap tadi sambil selesaikan kerja kat rumah ni.
Resepi asal adalah dari 1001resepi - Terima kasih pada Kak Ida. Klik SINI
 
BAHAN BAHAN
  • 125g mentega
  • 1/3 cawan gula halus
  • 1 biji telur
  • 3/4 cawan tepung naik sendiri
  • 1/2 cawan tepung kastad
  • 1/2 sudu teh esen vanila
BAHAN INTI KASTAD
  • 1 sudu besar tepung kastad
  • 1 sudu besar gula
  • 2/3 cawan susu segar
  • 15 g mentega
  • 2 sudu teh esen vanila
  • 10 ulas durian diambil isinya & dikisar (ni akak tambah)

CARA MEMBUATNYA
  1. Satukan semua bahan kecuali mentega & esen vanila, kacau rata dan masak atas api perlahan, kacau sehingga betul2 pekat & padamkan api
  2. Masukkan mentega dan vanila dan kacau biar betul2 sebati, ketepikan dulu. Akak bahagikan kepada 2 bahagian, 1 bahagian akak warnakan rose pink
  3. Panaskan oven pada 175C dan lenserkan tin pembakar kek saiz 7 inci .
  4. Pukul mentega dan gula halus sehingga memutih
  5. Masukkan telur dan pukul lagi sehingga kembang
  6. Masukkan esen vanila dan pukul lagi
  7. Diikuti tepung naik sendri & tepung kastad yang dimasukkan sedikit demi sedikit sampai habis
  8. Masukkan 1/2 adunan ke dalam tin pembakar dan ratakan kesemua inti kastad di bahagian atas adunan tadi (jika buat 2 warna, selang selikan je...)
  9. Masukkan baki adunan dengan menutupi keseluruh bahagian inti kastad tadi dan masukkan ke dalam oven
  10. Bakar selama 40 minit bergantung pada oven masing2
  11. Sejukkan sebelum dipotong

Monday, March 28, 2011

MEE ROJAK AYAM

Assalamualaikum semua...Mee rojak ni akak masak untuk tengahari tadi. Cukuplah untuk mengenyangkan rakyat jelata dirumah ni sampai ke malam. FYI, on Sunday lunch kat rumah ni kebiasaannya pukul 3 petang ke atas, so mana lah tak kenyang sampai ke malam...

Ok lah tak boleh lama2 , dah pukul 1 pagi. Seperti biasa la, resepinya seperti di bawah nie...

 
BAHAN BAHANNYA
 
  • 2 bungkus mee kuning
  • Ayam secukupnya
  • 4 ubi keledek merah
  • 1 mangkuk kismis emas
  • 6 biji buah tomato
  • 3 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 1 sudu besar serbuk pati ayam
  • 2 sudu besar gula
  • Garam secukup rasa
  • Sayur sawi secukupnya dicelur & ditoskan
  • Tauge
  • Tauhu goreng
  • Telur rebus
  • Cucur udang dipotong kecil
  • Sengkuang & timun dihiris memanjang
  • Cili merah dihiris2
  • Daun bawang & daun sup dihiris2
  • 7 ulas bawang merah *
  • 4 ulas bawang putih *
  • 1 inci halia *
bahan bertanda * dikisar bersama2
 
CARA MEMBUATNYA
  1. Ubi keledek dipotong kecil2,direbus sehingga empuk & dikisar sehingga betul2 lumat
  2. Kismis dikisar dengan secawan air, ulangi kisar semula lebihan kismis pada penapis dgn menambahkan secawan air lagi & tapis lagi
  3. Buah tomato dikisar sehingga hancur
  4. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk yang sesuai dan tumiskan bahan2 bertanda * sehingga naik bau
  5. Masukkan serbuk cili dan kacau2kan lagi
  6. Diikuti kisaran keledek, tomato & kismis, kacau2kan supaya betul2 sebati
  7. Tambahkan 2 mangkuk air supaya kuah tidak terlalu & masak dengan api perlahan & biarkan ia mendidih
  8. Masukkan pula sos tomato, serbuk pati ayam, gula & garam secukup rasa, kacau lagi
  9. Biarkan ia mendidih lagi dan bolehlah ditutup api apabila kuah sudah agak pekat
  10. Ambil mee kuning yang dicelur terlebih dahulu dan letakkan dalam mangkuk, tambahkan bahan2 lain seperti ayam, tauhu goreng, telur rebus, cucur udang, sayur sawi & tauge dan tuangkan kuah secukupnya. Letakkan sedikit hirisan cili merah, daun bawang, daun sup & bawang goreng di bahagian atasnya dan sedia untuk dimakan

Saturday, March 26, 2011

TALAM GULA MERAH

Assalamualaikum semua...Petang2 Sabtu begini tentu semua sedang berehat di rumah, ataupun bersiar2 dengan yang tersayang. Dapat balik rumah awal2 lagi cukup meyenangkan hati, rasa nak nyanyi la pulak dah...Dapat pulak makan kuih talam yang sangat diminati ni, emmm memang best. Sebenonye akak dah beberapa kali jugak buat kuih talam gula merah ni, dengan resepi yang berbeza, ada yang bersumberkan majalah, buku & internet. Sebelum ni, ada je yang tak kena di mata & di tekak akak. For example, ada yg lapisan atas terlalu lembik, ada jugak yg lapisan bawah keras sangat, pon tak best lah kan! Kali ni akak cuba pulak resepi dari dapur Yatie. Gembira betul sebab rasanya 100% menepati citarasa akak. Tak terlalu lembik atau keras, rasa pon tak manis sangat, sederhana je..lemak berkrim disukai ramai... Thanks to Yatie sebab sudi berkongsi resepi talam gula melaka ni. Akak copy kat sini yea Yatie untuk future reference akak & untuk teman2 lain yang mungkin tercari2 resepi kuih talam ni. RESEPI ASAL : SINAR KEHIDUPANKU- YATIEMEMORIES Klik SINI Bahan utk lapisan bawah
  • 200gm gula merah
  • 2 sudu gula pasir
  • 2 1/2 cwn air biasa
  • 1 cwn tepung gandum
  • 1 sudu besar tepung ubi
  • 1 sudu besar air kapur
Cara-cara
  1. Masak gula merah dan gula pasir bersama2 dngn air. Sejukkan
  2. Sementara itu panaskan pengukus dan balut dngn kain penutupnya
  3. Satukan semua bahan, kacau sehingga semuanya larut dan tapiskan Masak sebentar di atas api sederhana dan sentiasa kacau
  4. Tuangkan dalam loyang yang telah disapu sedikit minyak
  5. Kukus selama 20 minit. Setelah masak,cakar2 sedikit di atas permukaannya dan tuang adunan lapisan atas

Lapisan Atas
  • 3 cwn santan pekat
  • 1 cwn tepung beras
  • Sedikit garam
Cara-cara
  1. Satukan semua bahan, kacau sehingga sebati dan tapiskan
  2. Kacau atas api sederhana sehingga adunan hampir pekat
  3. Tuang atas adunan bawah dan kukus sehingga masak (selama 20 minit)
  4. Sejukkan dahulu sebelum di potong

Friday, March 25, 2011

RENDANG KERISIK DAGING & PERUT LEMBU

Assalamualaikum...Kalau masak rendang ni, macam sekelip mata je dah habis. Memang sangat2 digemari ramai. Dah 2 hari berturut2 lauk ni jadi menu, tapi tetap laku. Arini, pukul 2 petang semua lauk pauk dah licin, memaksa akak memasak 2nd round pulak. Emmm...tengok cuaca mendung kemungkinan besar akan hujan so tambah sikit2 je lagi lauk udah le... Rendang ni dimasak berkuah sikit sebab jika dimasak kering kurang yang berminat. Yang buatkan orang berkenan sebab ada si perut lembu tu. Ok lah, otak macam dah beku je ni, akak letak je la resepi macam biasa yea...Insya Allah panjang umur jumpa lagi dengan resepi yg lain pulak...Tataaaa.... BAHAN BAHANNYA
  • 1 kg daging dipotong kecil
  • 1 kg perut lembu dipotong kecil
  • 3 sudu besar cili kering kisar
  • 5 sudu besar kerisik
  • 1 1/2 biji kelapa diambil santannya
  • 2 helai daun kunyit dihiris halus
  • 2 keping asam gelugur
  • 2 sudu besar gula
  • Garam secukup rasa

BAHAN PENUMIS

  • 3 biji bawang merah dihiris halus
  • 2 biji bawang putih dihiris halus
  • 1 inci halia dihiris halus
  • Rempah 4 sekawan (1 kulit kayu manis, 2 bunga lawang, 3 pelaga & 4 cengkih)

BAHAN YANG PERLU DIKISAR BERSAMA

  • 15 ulas bawang merah
  • 8 ulas bawang putih
  • 10 biji cili padi
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 2 inci kunyit hidup
  • 3 batang serai
  • 3 biji buah keras

CARA MEMBUATNYA

  1. Daging & perut lembu direbus sehingga lembut
  2. Panaskan kuali dengan 3 sudu besar minyak dan tumiskan bahan penumis sehingga naik aromanya dan agak garing
  3. Masukkan bahan2 kisar dan cili kisar, kacau2kan supaya sebati
  4. Diikuti daging & perut yang sudah direbus tadi bersama air rebusannya
  5. Biarkan ia merenih seketika, kacau2kan biar mesra
  6. Masukkan pula santan dan kacau2kan lagi, biarkan sehingga kuah menjadi agak pekat
  7. Baru masukkan kerisik dan kacau2kan biar sebati
  8. Apabila sudah pekat kuahnya masukkan asam gelugur, gula dan garam secukup rasa yang dikehendaki dan kacau2kan lagi
  9. Yang terakhir masukkan daun kunyit, kacau sebentar dan boleh la ditutup api, sedia untuk dihidangkan

Thursday, March 24, 2011

KUPANG GORENG KUNYIT CILI PADI

Assalamualaikum semua...Arini balik rumah awal sikit dari biasa. Tujuan asal adalah untuk sidai kain tapi tengok langit macam dah mendung je, baik akak lepak dulu kat sini..hahaha..Alasan je kan! Ok2...ada tak sesape yang tak pernah makan kupang? Bagi diri akak memang jarang memasaknya. Dah tak ingat pun bila kali terakhir akak makan benda ni. Akak masak goreng kering je, simple sangat masakan ni. Simple tapi sesdap tau..Resepi dia macam dibawah ni .. :) 

BAHAN BAHANNYA
  • 1/2 kg isi kupang
  • 1 labu bawang besar dihiris bulat
  • 1 biji cili merah dihiris nipis
  • 1 biji cili hijau dihiris nipis
  • 1 biji tomato dipotong 6
  • 1 papan isi petai
  • Serbuk kunyit secukupnya
  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar sos ikan
  • 1 sudu besar sos cili
BAHAN YANG PERLU DIKISAR
  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 10 biji cili padi
  • 1 batang serai

CARA MEMASAKNYA
  1. Gaulkan kunyit & sedikit garam pada isi kupang, goreng dengan sedikit minyak sehingga kekuningan, angkat dan ketepikan dulu
  2. Gunakan baki minyak gorengan tadi, tumiskan semua bahan yang dihiris sehingga naik aromanya
  3. Masukkan pula bahan kisar dan kacau2kan sehingga sebati
  4. Masukkan pula sos tiram, sos ikan & sos cili, kaxcau lagi biar rata
  5. Diikuti isi kupang, tomato & isi petai, kacau sekejap aje biar mesra isi kupang dgn sambalnya
  6. Terakhir, masukkan gula dan sedikit garam jika perlu, kacau lagi sehingga rata dan bolehlah ditutup api, sedia untuk dihidangkan.

Wednesday, March 23, 2011

WELCOME TO MY FAMILY...

Assalamualaikum...Dah banyak kali anak2 bawak balik anak kucing ke rumah, tapi selalunya akak akan suruh depa hantar balik di tempat mana depa ambik kucing2 tu. Tapi kali ni lain pulak ceritanye sebab akak dengan rela hatinya menerima kehadiran 4 baby kucing yang comel2 kesemuanya, termasuklah dgn si ibunya sekali. Al kisahnya, ada sekali tu akak ada nampak sewaktu ibu kucing ni tengah sarat mengandung merayau2 kat tepi jalan..Biasa la kucing kan, takde apa nak heran..Seminggu yang sudah waktu nak mengemas kawasan luar rumah terkejut bila buka almari kasut, tengok2 kucing ni dah selamat melahirkan & sedang berehat di dalam tu dgn anak2nya. Rupa2nya dah beberapa hari depa berada di situ. Patutlah setiap kali akak nak keluar ke tempat kerja akak perasan pintu almari akan terbuka sedikit, rupa2nya anak2 yg sengaja buat begitu. Selama ini anak2 merahsiakan dari akak tentang kelahiran anak2 kucing ni sebab takut akak tak dapat menerima kucing2 tu semua..sama seperti yang lepas2....
Terbuka hati akak untuk menerima kehadiran depa semua, eh eh kucing2 semua..emmm, sememangnya naluri akak masih sama seperti zaman kanak2 dulu yang amat sayangkan kucing tersentuh lagi...Anak2ku, bukannya mama tak suka kucing, tapi bila mama dah sayangkan kucing2 ni susah untuk mama melepaskannya pergi. Takut mama yang lebih2 menangis jika kehilangan salah satu dari antaranya...
Sedangkan kucing lagikan mama sayang, apa lagi lah manusia...Jangan suka membenci & mengeji, apalagi berburuk sangka, kerana mungkin orang yang dikeji, diumpat, didustakan itu lebih mulia dari kamu, walau siapa pun diri kamu! Jangan lah perasan seperti kamu yang paling baik di dunia, tetapi dengan seekor kucing sanggup kamu tendang2, sepak terajang seperti kucing2 itu tiada perasaan! Ooppps...sorry yea..n3 kali ni agak emo & terbabas sikit...huhu :(
Ambil iktibar & muhasabah diri dari kejadian gempa bumi & tsunami di Jepun baru2 ini. Waktu itu semua harta kekayaan, pangkat atau pun darjat takkan bermakna lagi..kecuali amal ibadat yang tulus ikhlas akan dibawa pergi...

Tuesday, March 22, 2011

PUDING COKLAT VANILA

Assalamualaikum...Tentu semua dah makan malam kan! Tapi kat umah akak ni belum lagi sebab masing2 kesibukan macam tak berapa heran nak makan je rupanye...Depa ni sebenonye kan dah hentam makan keropok 1 paket, masa tu akak masih belum sampai kat rumah lagi, tengah jadi supir ambik rakyat pergi balik tuition daaa...Si abang yg sulung jadi tukang goreng kopok, maka habis la dapur tu terpercik minyak kat sana sini sinun...takpe3 mama tak kisahnye, janji tak kena kat badan minyak panas tu udah ler...  
Puding yang kat gambo tu dibuat janji siap je, tuang semua bahan, kacau2 atas api kejap & sejukkan, maka siap lah puding yang menjadi rebutan ramai pria2 kat umah nie...masih ada setengah bekas lagi tu, dijangkakan esok petang baru habis dimakan...akak memang sengaja buat puding ni untuk penuhkan fridge... :)  
Resepinya adalah sangat2 simple & senang, semudah A, B & C...tak caye cherr tengok...
 

BAHAN BAHANNYA
  • 1 paket agar2 serbuk
  • 1 1/2 cawan gula pasir
  • 1/2 tin susu cair
  • 1 cawan air
  • 1 biji telur
  • 2 sudu besar tepung kastad
  • 1 sudu besar serbuk koko
  • 2 sudu teh esen vanila
  • 2 sudu besar mentega
 
CARA MEMBUATNYA
  1. Masakkan serbuk agar2 dengan secawan air sehingga betul2 larut agar2nya
  2. Tambahkan gula dan masak sehingga gula betul2 hancur & mendidih. Perlahankan api
  3. Dalam bekas yang lain campurkan tepung kastad, susu cair & telur,kacau biar sebati & tidak berketul2
  4. Masukkan adunan tadi ke dalam larutan agar2 dan kacau2kan sebentar
  5. Terakhir baru masukkan mentega dan kacau lagi sehingga mentega sebati & tutup api
  6. Bahagikan kepada 2 bahagian, 1 bahagian biarkan seperti biasa, 1 bahagian lagi campurkan dengan serbuk coklat yang telah dilarutkan dengan sedikit air panas
  7. Tuangkan adunan berselang seli, atau ikut kreativiti masing2 ke dalam bekas yang sesuai
  8. Sejukkan dahulu sebelum dimakan

Monday, March 21, 2011

HONEY LEMON CHICKEN WING

Assalamualaikum...Atas permintaan semua yang dah jemu makan nasi so jom kita meratah kepak ayam je, ok jugak kan! Actually selain kepak ayam ada jugak kentang goreng, coleslaw & kentang putar. Macam ni la kat rumah ni, kalau dah tak de mood nak hadap nasi, akak akan buat menu sebegini, dah tentu takde sesape yang mampu menolaknya. Ada jugak rakyat yang komplen sebab agak pedas, tapi tengok2 licin jugak 3 ketul dia hadap sorang2...
Ok la, macam biasa akak letak resepi kat bawah ni.. :)
BAHAN BAHANNYA
  • Kepak ayam (akak buat 18 ketul)
  • 5 sudu besar madu
  • 2 biji buah lemon (ambil jusnya sahaja)
  • 1 1/2 sudu besar serbuk cili
  • 1 1/2 sudu besar sos cili
  • 3 sudu besar kicap manis
  • 1 suu teh garam
  • 1 sudu besar gula

BAHAN BAHAN UNTUK DIKISAR

  • 1 labu bawang besar
  • 3 ulas bawang merah
  • 6 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
CARA MEMBUATNYA
  1. Bersihkan kesemua kepak ayam dan toskan
  2. Madu & jus lemon digaulkan bersama2 & ketepikan dulu
  3. Campurkan serbuk cili, sos cili, kicap manis dengan bahan2 kisar dan gaulkan biar sebati
  4. Lumurkan pada kesemua kepak ayam sehingga rata dan perapkan selama sejam atau lebih
  5. Panaskan oven 200C dan grill ayam tadi selama 40 minit atau sehingga masak
  6. Setiap 10 minit buka oven, guna berus & sapukan dengan lebihan bahan perapan tadi & sambung bakar lagi
  7. 15 minit yang terakhir, sapukan pula dengan campuran madu & lemon sehingga rata pada ayam panggang tadi & sambung bakar & ulangi sehingga habis kesemua madu
  8. Tutup api apabila kepak ayam dah nampak garing dan sedia untuk dihidangkan.

KUIH BINGKA PANDAN

Assalamualaikum...Tengok jam dah pun pukul 1 pagi. Tetiba rasa nak update n3 pulak. Tak kisah la kan pukul berapa, ikut kesesuaian masing2 la kan! Dah akak ni memang macam burung hantu, malam tak reti nak bobom awal2... Kuih bingka kat gambo tu akak buat awal pagi semalam, lebih kurang pukul 1 pagi jugak. So, pagi2 tadi dapat bf dengan kuih ni, sambung makan sampai ke petang..Kuih sebegini memang menjadi favourite rakyat jelata di rumah ni. Memang selalu buat kat rumah ni, kalau buat banyak mana pun gerenti habis ai tell yuuu... Sedap kuih bingka ni, bila makan tu macam tak reti nak stop pulak.. Resepi sumbangan Joayee @ MyResipi...thank you :).... Rasa kuih ni cukup sempurna di tekak akak, secukup rasa. Akak letak resepi nya kat bawah ni supaya dapat dikongsikan bersama.. BAHAN BAHAN
  • 1 cawan gula pasir
  • 1 cawan jus pandan (boleh campurkan sedikit perisa pandan)
  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 1/4 cawan santan
  • 2 sudu makan mentega
  • 3 biji telur
  • 1/2 sudu teh garam
  • Pewarna hijau (jika perlu)
  • Bijan secukupnya

CARA MEMBUATNYA

  1. Campurkan kesemua bahan ke dalam satu bekas dan kacau2kan
  2. Masukkan pula ke dalam blender lalu dikisar sehingga sebati.
  3. Sapukan mentega di seluruh permukaan loyang dan panaskan sebentar loyang dlm oven.
  4. Apabila mentega sudah mencair, masukkan adunan tepung tadi dan bakar pada suhu 180C selama lebih kurang 45 minit atau sehingga agak garing
  5. 15 minit yang terakhir, taburkan bijan secukupnya diatas kuih tadi
  6. Tukar fungsi oven ke 'grill' dan sambung bakar sehingga cukup garing
  7. Keluarkan dari oven, biarkan ia betul2 sejuk dahulu sebelum dipotong.

Friday, March 18, 2011

AYAM GORENG BARYANI PANDAN

Assalamualaikum semua...petang2 dah sampai sini, tandanya tahap kebizian akak dah menurun ke paras yang minimum. Alhamdulillah, semalam peperangan di dapur telah pun berakhir dengan kemenangan berpihak pada akak, kekalahan teruk pada periuk, belanga, sudip & kuali..Ada yang kemik2 & patah2 di sana sini..ishh3 :) Lanjutan dari tempahan kenduri semalam, dapat pula tempahan lain yang akan diconfirmkan kemudian...Alhamdulillah
Balik awal dan menguruskan pula hal ehwal rumah tangga pulak. Akak cuba sebaik mungkin, sesibuk mana pun untuk luangkan masa dgn anak2 & pastikan rumah sentiasa dalam keadaan baik. Cadang nak siapkan semua kerja rumah secepat mungkin tetiba dah lepak kat sini pulak...hmmmm mcm tu la ceritanye...
Apa apa pon kat gambo tu adalah ayam goreng yang akak buatkan untuk anak2 yang sememangnya tak jemu2 makan ayam. Hari2 makan ayam goreng pon depa tak kisah...Makan dengan nasi dagang yang berasnya dah lama tersadai kat kabinet dapur tu. Ok la, nak gi sambung kerja dah ni, resepi macam biasa la yea....
BAHAN BAHANNYA
  • 1 ekor ayam dipotong ke 12 bahagian
  • 2 sudu besar rempah baryani
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu teh garam
  • Minyak untuk menggoreng
  • 2 helai daun pandan dipotong2kan

BAHAN YANG PERLU DIKISAR BERSAMA

  • 6 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 2 batang serai

CARA MEMBUATNYA

  1. Masukkan kesemua bahan2 diatas ke dalam mangkuk dan campurkan supaya betul2 sebati
  2. Gaulkan pula pada keseluruhan bahagian ayam sehingga rata
  3. Perapkan selama 1 jam, lagi lama diperap bertambah sedap rasanya nanti
  4. Sediakan kuali untuk menggoreng ayam dengan kuantiti minyak yang agak banyak
  5. Apabila minyak sudah betul2 panas, masukkan ayam satu per satu perlahan2 dan goreng sehingga betul2 masak
  6. Sebelum diangkat ayam, masukkan daun pandan & tunggu sebentar
  7. Angkat ayam, toskan minyaknya & sedia untuk dihidangkan.

Wednesday, March 16, 2011

CUCUR BADAK

Assalamualaikum, mcm biasa la dh tgh malam baru sampai sini...(aiiikkss..mcm dh xde ayat lain pulak). Tak kisah la kan janji ada update..Baru selesai settlekan semua hal2 dapur berkaitan tempahan besok yang mana agak mencabar sikit dari biasa..Tak pe2...i like cabaran, lagi mencabar lagi i suka3...So, besok pagi kena keluar awal2 lagi dengan semangat yang kental & berdoa pada Allah semoga semuanya berjaya dilaksanakan dengan jayanya...mcm bunyi nak pergi berperang pon ado kan! Ni kuih cucur badak kesukaan akak tapi jarang membuatnya sebab tiada peminat fanatik kat rumah nie... :( leceh la nak masak benda yg org tak minat. Mkn sorang2 pon tak seronok kan!! Resepinya akak letak kat bawah nie... BAHAN BAHANNYA
  • 3 biji ubi keledek merah
  • 300 gm udang segar
  • 1/2 biji kelapa parut
  • 3 cawan tepung gandum
  • 1 sudu makan gula
  • Garam secukup rasa

BAHAN2 YANG PERLU DIKISAR BERSAMA2

  • 5 biji cili merah
  • 5 biji cili padi
  • 3 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 batang serai
CARA MEMBUATNYA
  1. Kupas ubi keledek & potong kecil2 lalu direbus dengan sedikit garam sehingga lembut, lenyekkan ubi sehingga hancur kesemuanya
  2. Campurkan tepung gandum dan uli, sekiranya masih lembik tambah la sedikit lagi tepung sehingga adunan tepung ni boleh dibentuk
  3. Untuk intinya, udang dikupas kulitnya, dibersihkan & dicincang halus, boleh jugak dikisar
  4. Masukkan 3 sudu besar minyak masak & tumiskan bahan kisar sehingga naik aromanya
  5. Masukkan isi udang tadi dan kacau2kan diikuti kelapa parut, kacau lagi sehingga inti nya agak kering & garing
  6. Terakhir baru masukkan gula dan garam secukupnya, kacau biar sebati dan boleh la ditutup apinya & biarkan ia sejuk seketika
  7. Ambil adunan tepung yang dah siap diuli tadi dan timbang setiap satu 35 g, bulat2kan
  8. Leperkan ia sederhana nipis diatas telapak tangan
  9. Sudukan inti secukupnya di atas tepung tadi & cantumkan tepung agar tertutup rapat keseluruhannya, gunakan jari dan bentukkan ia bulat2, letak seekor udang hidup diatas kuih tadi & tekan2kan sedikit dengan jari supaya melekat kuat & tak tertanggal semasa digoreng
  10. Panaskan minyak masak secukupnya, dengan kepanasan sederhana gorengkan satu persatu, terbalikkan, tunggu hingga masak dan berwarna keemasan baru diangkat & ditoskan

Tuesday, March 15, 2011

KETAM GORENG NENAS BERLADA HITAM

Assalamualaikum semua...akhirnya berkesempatan jugak ke sini setelah kesibukan selama beberapa hari yang sememangnya memenatkan but at the same time menyeronokkan ! Sesekali teringat zaman bekerja dulu ada masa2 nya yg sangat2 memenatkan macam ni jugak & perasaan masa tu amat menjengkelkan !!! Penat sangat rasanya berhempas pulas bekerja untuk orang lain & perlu memuaskan hati pihak atasan, tu belum lagi masuk bab target2 yang perlu dicapai. Bila fikir2 balik, emmmm sememangnya seronok berniaga sendiri nie...Terima je semua ujian & cabaran yang mendatang dgn hati yang sentiasa redha atas ketentuan Nya, Insya Allah... kan 9/10 rezeki datangnya dari perniagaan, so why worry eh?  

Arini masak ketam goreng sebab rakyat2 semua dah mengidam ketam. Depa nih dgn ketam bak irama & lagu yg tak dpt dipisahkan. Nasib baik the only chef ni dah agak reda kesibukannya, kalau idak jgn nk hrp ok rakyat2 semua!!! Idak ehhh, takkan tergamak chef ni menghampakan hati rakyat2 yang dah mengendeng ketam mentah tu sedari awal pagi tadi. Masakan ni jenis tak berkuah, memang puas dapat meratah..dah hobi seisi keluarga nak buat camne kan!  :)) 

Resepinya akak letak kat bawah ni macam biasa :
  • 8 ekor ketam bunga
  • 2 labu bawang besar dihiris bulat
  • 5 biji bawang putih dicincang halus
  • 2 cm halia dihiris2 halus
  • 3 biji cili merah dipotong memanjang
  • 1 biji nenas madu dipotong kecil2
  • 3 sudu besar sos lada hitam
  • 1 sudu besar serbuk lada hitam dikisar
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 1/2 sudu besar gula
  • Sedikit garam
 
CARA MEMBUATNYA
  1. Ketam yang sudah dibersihkan digaul dengan sedikit garam & serbuk kunyit dan digoreng sampai masak & garing, ketepikan dulu
  2. Ambil sedikit minyak goreng ketam tadi dan tumiskan bawang besar, bawang putih & halia sehingga naik bau & kekuningan
  3. Masukkan sos lada hitam, sos tiram & serbuk lada hitam dan kacau2kan biar sebati
  4. Akhir sekali masukkan cili merah, nenas, gula & sedikit garam (jika perlu) diikuti ketam goreng tadi
  5. Gaulkan ketam sehingga betul2 sebati dengan kuahnya baru la ditutup api
  6. Sedia untuk dihidangkan

Saturday, March 12, 2011

KARI KEPALA IKAN MERAH

 
Assalamualaikum....Petang Sabtu yang indah & menceriakan!!! Dah lama tak makan kari kepala ikan. Tengok2 ada pulak kepala ikan merah yang fresh ni. So, apalagi terus je la akak memasaknya. Actually, tak masak banyak pun, mcm yg kat gambo tu 2 ketui aje & sebab anak2 tak dibenarkan memakannya untuk kebaikan depa juga. Emmmmm...kuah kari yang agak pekat & tak gunakan banyak santan, cuma lebihkan air asam jawanya. Biasa la akak kalau masak kari tak pedas tu bukanlah akak namanya... Macam biasa resepinya seperti kat bawah ni... :)  

BAHAN BAHANNYA
  • Seketul kepala ikan merah dibelah 2
  • 2 sudu besar serbuk rempah kari ikan
  • 1/2 sudu besar serbuk cili
  • 2 buah tomato dibelah 2 setiap satunya
  • 1 batang cili merah dibelah tengah
  • 1 batang cili hijau dibelah tengah
  • 6 biji kacang bendi
  • Garam secukup rasa
  • 1 mangkuk air asam jawa
  • 1/4 cawan santan pekat
BAHAN UNTUK DIKISAR BERSAMA2
  • 6 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1/2 labu bawang besar
  • 1 cm halia
  • 1 batang serai
  • 1/2 sudu makan belacan Melaka
  • 1-2 biji buah keras
BAHAN BAHAN TUMIS
  • 2 ulas bawang merah dihiris2
  • 2 ulas bawang putih dihiris2
  • Beberapa hirisan halia
  • 1 sudu makan halba campur
  • 2 tangkai daun kari
CARA MEMBUATNYA
  1. Panaskan sedikit minyak didalam periuk dan masukkan bahan2 tumis dan biarkan sedikit layu & kekuningan
  2. Masukkan semua bahan kisar dan kacau2kan sehingga sebati
  3. Masukkan pula serbuk rempah kari ikan dan serbuk cili dan kacau2kan lagi, tunggu sehingga agak garing dan naik baunya
  4. Perlahankan api dan masukkan santan pekat, kacau2kan sebentar baru masukkan kepala ikan, tunggu mendidih sekejap kuahnya
  5. Masukkan air asam jawa, buah tomato, cili merah, cili hijau dan terakhir kacang bendi, kacau2kan sebentar
  6. Tambahkan garam secukup rasa yang diingini dan tunggu sehingga ikan betul2 masak dan boleh la ditutup api
  7. Sedia untuk dihidangkan

Friday, March 11, 2011

MILO AIS TABUR

Assalamualaikum pembuka kata...Kesibukan melanda, akhirnya dapat juga singgah kejap kat sini...Jadi la kan, walaupun tak boleh lama2 sangat kat sini...huhuhukkk...sekarang ni masa agak terbatas untuk blogging, kadang2 tu terjah blog kawan2 pun tak sempat nak bagi salam...
Gempar dengan berita gempa bumi & tsunami di Jepun, kehilangan nyawa, harta benda dan mcm2 lagi. Sesungguhnya Allah menguji setiap manusia dengan pelbagai cara & bentuk. Pasti ada hikmah yang tersembunyi dengan kejadian tersebut. Akak panjatkan doa buat semua muslimin & muslimat yang berada di sana semoga semuanya selamat & dipelihara Allah swt hendaknya. Begitu juga dengan rakyat Jepun yang tidak berdosa, pilu dengar berita2 sebegini.
Tenang2kan fikiran & rehat2kan minda...jom minum Milo ais tabur. Akak buat untuk semua rakyat jelata untuk minum2 di tgh malam2 buta ni. Supper la konon...
BAHAN BAHANNYA
  • 3 sudu besar serbuk Milo
  • 1 sudu besar serbuk krimer
  • 2 sudu besar susu pekat manis
  • Air panas secukupnya
  • Ketulan ais secukupnya

CARA MEMBUATNYA

  1. Masukkan 2 sudu besar serbuk Milo ke dalam gelas yang sederhana besar
  2. Tambahkan air panas secukupnya dan kacau2kan sehingga serbuk Milo betul2 larut
  3. Masukkan pula susu pekat manis dan kacau2kan lagi
  4. Tambahkan ketulan ais secukupnya
  5. Taburkan 1 sudu serbuk Milo & 1 sudu serbuk krimer dibahagian atasnya
  6. Sedia untuk dinikmati.

Tuesday, March 8, 2011

CHOCOLATE CHOCLAIRS MUFFIN

Assalamualaikum semua!!! Dah makan malam ke? Akak sekeluarga belum lagi..masih belum ada idea apa nak makan. Lepas update n3 ni akak kena masuk dapur & sambung lagi awal2 pagi esok utk siapkan tempahan masakan. 

Muffin ni dibuat awal2 pagi tadi. Kejap je buatnya, dalam 1 jam dah siap semuanya. Bagi yang suka makan coklat ni tentu akan suka kan muffin ni jugak. Macam akak... :) Resepi ni akak dapat semasa mengendap dapur kak Ummi Home Sweet Home malam kelmarin. Tengok gambonye macam sedap je, rupa2nya bila dah makan lagi lah teramat2 la sedapnya... Tapi memang pon kalau masuk je ke rumah kak Ummi ni semua resepinya nampak lazat & meleleh air liur. Kalau makan apa tah lagi... Terima kasih kepada kak Ummi & terima kasih juga kepada penyumbang asal resepi ini iaitu Yani @ Deco Choco kerana berkongsi resepi ini dengan semua. Izinkan saya copy resepinya untuk future reference yea kak!  

CHOCOLATE CHOCLAIRS MUFFIN 

Bahan-bahan:
  • 200gm tepung naik sendiri
  • 20gm serbuk koko
  • 2 biji telur
  • 45gm gula perang
  • 45gm gula kastor
  • 100gm mentega
  • 100ml susu segar
  • 50gm chocolate chips
  • 10-15 biji choclairs ( sebiji potong 4) 
Cara-cara:
  1. Ayak tepung dengan serbuk koko. Panaskan oven sehingga suhu 170 degree.
  2. Pukul gula dengan mentega sehingga lembut. Masukkan telur sikit demi sedikit. Pukul lagi 2-3 minit.
  3. Kemudian masukkan 1/3 tepung yg dah diayak tadi. Kacau.
  4. Masuk pula 1/2 susu segar - kacau lagi. Ulang lagi dgn masukkan tepung diikuti dengan susu. Akhir sekali tepung.
  5. Masukkan pula chocolate chips dan choclairs. Kacau rata.
  6. Sudipkan adunan ke dlm muffin cups. Bakar selama 15-20 minit atau sehingga masak.

Sunday, March 6, 2011

NASI GORENG AYAM PANGGANG BBQ

Menu makan malam yang agak berat. Makan malam pun agak lewat tadi..so sekarang ni masing2 dah kekenyangan dek penangan ayam panggang, kentang bakar, coleslaw & ditambah lagi dengan nasi gorengnya. Emmmm...mata pon dah ngantuk ni, awal pulak rasa nak tido arini, tapi akak masih ada 1 lagi tugasan yang perlu disiapkan...ceeewah..macam iye2je kan!
Yang sebenonya tugasan tu adalah melipat kain baju yang keringnya secara berperingkat. Siang tadi awal2 lagi dah hujan so banyak kain baju yang tak sempat kering sepenuhnya.Yang mana yang masih basah manja2 tu akak gantung bawah kipas. Yang mana yang dah kering dulu tu kita lipat la sikit2..Akak paling suka kerja melipat kain ni sebab sambil lipat tu boleh duduk2, boleh sembang2, boleh tengok tv & mcm2 boleh la lagi. Ntah apa2 pulak cerita akak kat sini eh! Dah melalut ke mana2 dah ni..mungkin gara2 makanan yang belum betul2 hadam ni kot...
Ok lah...letak resepi ayam je la kat sini. Resepi nasi goreng tu tak perlu rasanya sebab super simple sgt arrr.... Insya Allah panjang umur kita jumpa lagi... :)
AYAM BBQ
BAHAN BAHANNYA
  • Seekor ayam dibelah kepada 2 bahagian
  • 5 sudu besar sos BBQ
  • 3 sudu besar madu
  • 2 sudu besar cili kering kisar
  • 1/2 sudu besar lada hitam kisar
  • Sedikit garam
  • Mentega secukupnya
  • Ubi kentang russet

Bahan2 yang dikisar bersama2

  • 5 ulas bawang merah
  • 1 labu bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 cm halia

CARA MEMBUATNYA

  1. Ayam dibersihkan dan ditoskan airnya
  2. Campurkan bahan kisar dengan kesemua bahan2 lain & gaulkan ia sehingga betul2 sebati
  3. Lumurkan bahan ini keseluruh bahagian ayam sehingga betul2 rata
  4. Perapkan selama 1 jam
  5. Panaskan oven 200C dan letakkan 3 sudu mentega ke atas dulang pembakar ayam dan biarkan mentega cair
  6. Letakkan ayam ke atas dulang pembakar tadi dan bakar selama 40 - 50 minit sehingga betul2 masak & garing
  7. Setiap 15 minit, sapukan lebihan perapan dicampur sedikit mentega ke atas ayam tadi
  8. Untuk ubi kentangnya pula, rebuskan ubi yang telah dikupas kulitnya dan dibelah ke 4 bahagian sehingga empuk
  9. Toskan ubi & gaulkan ia dengan lebihan perapan ayam tadi
  10. 10 minit terakhir baru masukkan ubi kentang dan dibakar bersama2 dengan ayam sehingga nampak garing
  11. Apabila sudah masak keluarkan dari oven dan sedia untuk dinikmati seisi keluarga dengan apa sahaja hidangan sampingan yang dirasakan sesuai....

JAGUNG KUKUS LEMAK MANIS

Disebabkan tukang masak malas memasak yg remeh2 arini, apa kata makan je jagung kukus ni..ehhhh manis betul la jagung ni...buat jempot2 pon sedap. Kalau beli jagung tu jangan disimpan lama2 dalam fridge nanti dah tak manis, makan pon dah tak best. Rugi je kan, udah la jagung yang besar gedabak ni mahal sikit harganya dari yang biasa2 tu. Kot2 ada yang masih tak reti nak buat jagung kukus, boleh tengok cara2 membuatnya di bawah ni... BAHAN BAHANNYA
  • Beberapa tongkol jagung dibuang kulit & dibersihkan
  • Sedikit garam halus
  • Madu secukupnya
  • Mentega secukupnya

CARA MEMBUATNYA

  1. Mula2 panaskan pengukus dan tunggu sehingga mendidih airnya
  2. Masukkan jagung2 ke dalam pengukus dan kukus sehingga jagung betul2 masak
  3. Keluarkan jagung dan tunggu sebentar
  4. Gunakan berus kecil dan sapukan mentega sexcukupnya pada butiran jagung sehingga selesai semuanya
  5. Ambil madu secukupnya dan sapukan ia sehingga rata pada jagung
  6. Akhir sekali sapukan pula sedikit garam
  7. Sudah siap & sedia untuk dimakan.

TILAPIA STIM ASAM BOI

 
Assalamualaikum...kawan2 dah minum petang ke? Ya lah..jam pun dah pukul 5 lebih ni mesti la sibuk nak prepare utk makan2 petang pulak kan! Haaa.betul3...hari ni akak malas nak masak tapi bila fikirkan perut2 yang lain perlu diisi, akak pon masak la jugak apa yang patut. Banyak faktor yang mempengaruhi kemalasan akak untuk memasak arini, tapi malas bukan sebarang malas ok! Malas memasak, tapi benda2 lain tak malas tau...

Ikan tilapia ni sangat fresh, masih tergedik2 semasa sampai ke tangan akak. Teringin pulak nak stim ikan tilapia merah ni macam yang Nieza Helsinki buat tu. Tapi apa ke halnya after distimkan ikan tilapia merah ni bertukar jadi ikan tilapia putih & pucat je rupanya? Palsu betui la ikan ni, tapi nasib baik sedap & manis rasa isinya..emmmm tak kuasa dah nak membebel... Resepi akak letak kat bawah ni yea... :)  


Bahan Bahannya
  • 4 ekor ikan tilapia merah
  • Sedikit cendawan hitam kering (direndam)
  • Secekak kecil suhun (direndam)
  • 8 biji asam boi
  • 15 biji cili padi dihiris halus2
  • 2 biji cili merah dihiris memanjang
  • 1 labu bawang besar dihiris bulat
  • Sedikit daun bawang & daun sup dihiris halus
  • 2 biji tomato dipotong bulat2
  • 5 biji limau kasturi diambil jusnya
  • 3 sudu besar sos ikan
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1/2 sudu teh gula
CARA MEMBUATNYA
  1. Mula2 bersihkan ikan tilapia dan lumurkan dengan sos ikan, sos tiram, gula & jus limau dan biarkan ia seketika selama 15 minit aje
  2. Sementara itu panaskan pengukus, tunggu hingga air mendidih
  3. Cendawan hitam kering di celur supaya lembut sedikit & dihiris2kan
  4. Letakkan semua bahan2 hirisan, tomato & asam boi ke atas ikan tadi dan boleh la distimkan lebih kurang 12 minit bergantung kepada besar mana ikan tersebut
  5. Apabila sudah masak, renjis2kan sedikit kicap cair ke atas ikan dan sedia untuk dihidangkan.

Saturday, March 5, 2011

BUTTER ROLL

Assalamualaikum...Lamaaa sungguh tak meroti!!! Tiba2 je datang seru so akhirnya terjadi la butter roll bread ni. Semua rakyat kat rumah ni gembira sambil tepuk2 tangan bila tengok akak buat roti. Bukannya rakyat jelata ni tak pernah jumpa roti yea...tapi lebih berkenan yang akak buat dari yang jual kat kedai. Kalau yang beli tu, rakyat jelata ni suka komplen itu tak kena, ini tak kena, pokoknya serba-serbi tak kena ( emmm....ni agak2 tau turun dari perangai sape ni...ahaha...)  

Mula2 tu akak jadi geram tengok roti ni kat dapur Yatie. Yatie pulak dapat dari dapur Cik Mat Gebu. Check kat kabinet dapur tengok2 semua bahan2 yang diperlukan pon ada, jadi memang takde alasan lagi untuk tidak meroti. Terima kasih akak ucapkan buat Cik Mat Gebu sebab siap demo cara2 roll roti ni. Owh yea...resepi asal adalah dari MamaFami. Izinkan akak copy resepinya di sini untuk future reference yea...Kalau sesiapa nak tengok step by step oleh CMG cara buat roti yang comel & gebu ni, boleh klik kat SINI.
  SUMBER : YATIEMEMORIES, CMG 
RESEPI ASAL : MAMAFAMI 

Bahan-Bahannya :-)
  • 200 g tepung roti (high-protein flour)
  • 1/2 camca teh garam
  • 1/2 camca teh bread improver
  • 5 g gluten (mat ganti dgn 1/2 camca teh bread softerner)
  • 40 g gula halus
  • 6 g instant yeast
  • 30 gram telur, pukul 1 biji telur kemudian timbang
  • 95 ml air
  • 30 g mentega
  • Telur + esen vanilla, untuk disapu
  • Sedikit gula pasir kasar
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan semua bahan diatas kecuali mentega, ke dalam mangkuk adunan, uli hingga menjadi doh, tambah mentega, terus menguli hingga mendapat doh yang lembut, licin dan anjal.
  2. Bulat2kan, alih dalam bekas dan bungkus dengan plastik, biar 45 minit - 1 jam.
  3. KAEDAH LAIN Masukkan semua bahan2 dalam breadmaker, pilih setting untuk doh dan tekan "on", tunggu hingga siap.
  4. Tabur meja kerja dengan sedikit tepung gandum, keluarkan doh dan tumbuk untuk membuang udara. Bulat kan dan canai seperti dalam gambar. Potong 12 bahagian sama besar (agak2 jee).
  5. Kemudian gulung satu persatu potongan tadi secara berhati2 dari luar ke dalam (dari bahagian besar ke bahagian kecik), kemas kan dan alih ke dalam loyang yang telah disapu sedikit mentega. Buat hingga siap.
  6. Biar 45 minit hingga doh mengembang.
  7. Sapu dengan telur (lebihan yang 30 gram tadi) + esen vanilla pada setiap doh roti, tabur sedikit gula pasir kasar.
  8. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 190C selama 25 minit atau hingga kuning keemasan, sejukkan atas jaringan atau boleh juga dihidangkan panas2... 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...