Showing posts with label SAYUR. Show all posts
Showing posts with label SAYUR. Show all posts

Thursday, October 2, 2014

LABU ORGANIK MASAK KARI



Assalamualaikum..labu ni dibeli di Lavender Garden Cameron Highlands semasa cuti sekolah baru2 ni. Tempat tu antara tarikan terbaru di CH nampaknya. Baru sangat tu tidak lah tapi bagi kami sekeluarga yang kerap kali ke Cameron Highlands kira baru first time ke sana.

Actually yang jual labu tu sorang bangla yang bekerja di bahagian bunga2 daisy. Katanya, labu organik, tanam sebelah rumah dia je ni. Pandai dia cari rezeki kan! Selain dari suami akak yang berminat sangat dengan buah labu ni ada jugak beberapa orang lain yang membelinya. Kalau akak memang tidak lah, sebab  tujuan ke situ untuk tengok bunga2an sambil posing2..

Kali ni akak masak kari le pulak ya sebab dah cemuih dengan masak lemak. Bagi akak lagi sedap masak kari. Haishhh... baby dah nangis la pulak..nak nenen le tuuuu...ok lah cepat2 dengan resepinya kat bawah ni..:)

BAHAN BAHANNYA

1/4 buah labu
20 ekor udang sederhana besar
3 ulas bawang merah dihiris nipis2
3 ulas bawang putih dihiris nipis2
2 tangkai daun kari
Buah tomato (saya guna 6 biji tomato ceri dibelah 2 setiap satu)
5 biji cili padi dibelah 2 setiap satu
2 sudu besar rempah kari ikan & udang
3 cawan santan sederhana pekat
1/4 cawan air asam jawa
1 sudu besar gula
Garam secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis


CARA MEMASAKNYA

  1. Mula2, kupas labu dan potong labu sederhana sama besarnya. Rebuskan sehingga 3/4  masak je dan toskan. 
  2. Panaskan sedikit minyak dalam periuk dan tumis semua bahan2 hiris iaitu bawang merah, bawah putih dan daun kari sehingga kekuningan
  3. Masukkan serbuk kari dan kacau2kan sebentar, masukkan air asam jawa dan masak sampai rempah garing.  ( style akak masuk terus serbuk kari, takyah bancuh jadi pes pun sebab nak cepat garing, tapi ikut le mana cara yang sesuai dengan diri kita)
  4. Masukkan pula santan, kacau2kan dan bila mendidih masukkan pula udang.
  5. Kemudian diikuti dengan labu yang telah direbus tadi dan masak sehingga labu betul2 empuk.
  6. Jangan lupa sedikit garam dan gula ikut selera masing2.
  7. Terakhir baru dimasukkan buah tomato dan cili padi, biarkan ia mendidih sekejap barulah ditutup apinya. Sedia untuk dihidangkan. 

Sunday, December 2, 2012

MY FIRST PUMPKIN

Assalamualaikum...Salah satu sebab kenapa akak berminat dgn gardening adalah perasaan (bukan perasan ok!) apabila melihat tanaman mula membesar & berhasil. Tapi bukan semua tanaman boleh berbuah begitu saja. Dah cuba tanam kacang panjang, jagung, cili, semua senang2 je berbuah. Tapi labu...tak pernah menjadi. 

Boleh kata tiap2 pagi I akan melawat pokok2 labu, intai2 mana la tahu  ada buah yang menjadi. Pokok2 labu tumbuhnya bukan main subur menjalar. Memang tak dinafikan benih labu antara yang paling senang bercambah menjadi pokok. Pantang ditabur aje, selang beberapa hari tumbuhlah anak2 pokoknya. Dari seminggu ke seminggu ia membesar, maka muncullah pula bunga2nya yang kekuningan. Cantik bunga labu ni..tengok di bawah tu....


Tapi setakat melihat bunga2nya yang cantik tu saja la. I memang hairan kenapa bunga2 labu semuanya layu & mati begitu saja..takde satu pun yang survived. Faham2 je la I ni baru nak belajar ilmu2 berkebun ni, memang banyak yg tak tahu. 

Alhamdulillah, akhirnya segala persoalan tentang labu telah terjawap setelah akak bertemu blog Ummuaidan. Terima kasih akak ucapkan atas info yang dikongsikan tu. Kalau nak tahu dgn lebih detail sila klik AKU DI FIJI ISLAND
Memang excited & tak sabar2 nak try cara yang Ummuaidan praktikkan tu. Kebetulan tengah ada bunga2 betina & jantan so, the next morning terus cuba and the result memang tak mengecewakan. 

The first step anda kena identify dulu yang mana satu bunga betina & yang mana jantan. Kalau ini pun fail jgn nak berangan boleh jadi labu ya...Macam I ni boleh la nak berlagak sikit konon2nya sebab dah kenal walaupun pada hakikatnya baru2 ni je kenal...hehe
 Tengok di gambar atas...tu bunga betina. Jika proses pendebungaan berlaku pada bunga ni, Insya Allah labu akan membesar...


Nampak tak di bahagian belakang bunga tu ada sebiji buah labu kecil?Bahagian inilah yang akan membesar nanti. So, macamana proses pendebungaan ni boleh berlaku? Waktu sekolah rendah pun ada belajar subject Sains kan...antaranya ia boleh berlaku dengan bantuan haiwan, serangga, angin & air.

Dah jelas kan, bunga2 labu I semua tak berjaya didebungakan dengan bantuan di atas. Mungkin disebabkan kedudukan bunga betina & jantan yang terletak jauh antara satu sama lain yang tak memungkinkan pendebungaan terjadi secara nature. Jalan lain untuknya adalah membuat pendebungaan sendiri secara manual.


Bunga yang di atas ni bunga jantan. Kalau dilihat bahagian tengahnya ada debunga2 halus berwarna kekuningan. Gunakan berus lukisan dan sapukan dibahagian debunga sehingga ia melekat sebanyak mungkin pada berus. Kemudian ia dipindahkan ke bahagian tengah bunga betina sehingga melekat kesemuanya.

Tunggu beberapa hari & sekiranya pendebungaan itu telah berjaya bunga betina akan menguncup maka proses pembesaran buah labu kecil itu sudah bermula.

Dengan ilmu tersebut akhirnya akak berjaya dapat 2 buah labu. Jika anda lihat bentuknya memang berbeza antara satu sama lain kan! Sebab ia tumbuh dari biji2 labu yang akak main campak je setiap kali beli labu. Seronok pantau perkembangan buah2 labu ni.

Dah rezeki, labu yang dihasilkan adalah sebesar ini saja. I pun tak sure bila waktu yang sesuai nak harvest labu ni. Tunggu punya tunggu, kulit labu pun dah semakin kuning..so, akak pun petik je. 
Bila dibelah labu ni gembiranya hati dapat tengok isi labunya cukup tebal & warna isi pun cantik kuningnya. Rasa labu ni pun manis & isinya lembut & gebu. Sesetengah labu ada yang isinya kasar kan..tapi my first pumpkin tak mengecewakan.
Cuma kalau la labu I dapat membesar lagi...mungkin tak cukup baja kot!

Masakan lemak labu adalah favourite anak2 I.  Suka sangat la depa kalau makan berkuah2 begini. Senang jaga betul anak2 I ni...bagus3 ;-) Cara memasaknya pun simple je tapi ada juga resepinya di bawah ni ya....


LABU MASAK LEMAK

BAHAN BAHANNYA

Labu dipotong sederhana besarnya
Beberapa batang chinese leek dikerat2 pendek
1/2 bawang besar dimayang nipis2
Seulas bawang putih dihiris halus2
Sebiji cili merah dipotong nipis2
Segenggam udang kecil
Semangkuk santan sederhana pekat
1/2 mangkuk santan cair
1/2 sudu teh garam
Sedikit gula

CARA MENYEDIAKANNYA 
  1. Campurkan potongan labu dengan santan cair dalam periuk dan rebuskan sehingga isi labu menjadi empuk. Keluarkan dulu isi labu & ketepikan.
  2. Campurkan santan pekat, bawang besar, bawang putih, cili merah & udang kedalam periuk yang sama. Api sederhana & biarkan kuah santan mendidih sambil dikacau2 selalu
  3. Masukkan chinese leek, diikuti dengan isi labu yang sudah empuk tadi. Kacau2kan
  4. Sesuaikan rasanya dengan memasukkan garam dan sedikit gula. Biarkan ia mendidih sebentar saja dan padamkan api. Sedia untuk dihidangkan.

Tuesday, February 21, 2012

ACAR RAMPAI


Assalamualaikum....Sambil memasak untuk lunch dapat juga mengupdate disini. Macamana dengan anda di rumah ? Tentu di waktu begini dah selesai memasak juadah makan tengahari.Tunggu makan je nanti kan! Kalau di rumah ni waktu lunch hanyalah selepas solat zuhur, itu pun kadang2 sengaja dilewat2kan lunch sehingga pukul 2.30.Akak ni malas sebenarnya nak mkn nasi, disamping dah bosan mkn air tangan sendiri, dapat jugak berdiet jika tak mkn nasi kan! Tapi apakan daya, hubby akak ni manja gitu, jangan harap la dia nak makan selagi akak tak makan sekali...uhuk3...sedih sebab tak dpt diet2...:( 

Acar rampai ni bukan yang dimasak hari ni tapi menu kenduri tak berapa lama dulu. Akak ni sesekali dapat la jugak ambil gambar lauk2 kenduri, selalunya tak berkesempatan sebab sangat2 sibuk jika adanya katering. Acar sebegini kalau bukan untuk tempahan memang takkan ada akak memasaknya dirumah ni sebab anak2 bukannya reti pun nak makan. Tambah lagi anak2 lelaki, mana nak makan acar2 gini...Kalau kat rumah ni yang makan cuma akak sorang je. Ok, kalau ada antara anda nak mencuba acar ni boleh la tengok resepi di bawah ni yea... :))


BAHAN BAHAN
  • 2 lobak merah (dikupas kulit, dihiris & potongan mancis)
  • 2 timun (tak perlu dikupas kulit, dihiris & potongan mancis)
  • 2 cili merah dikerat 2,potong kecil & memanjang
  • 2 cili hijau dikerat2, potong kecil & memanjang
  • 8 ulas bawang merah dipotong 6 bahagian setiap satu
  • 5 ulas bawang putih dihiris nipis2
  • 1/4 cawan cuka makan
  • 2 sudu besar rempah kari (ikan atau daging pun boleh)
  • 1 sudu besar serbuk cili (jangan letak jika tak suka pedas)
  • 1 sudu besar biji sawi
  • 2 sudu besar bijan (digoreng sebentar tanpa minyak)
  • 2 sudu besar gula
  • Sedikit garam
  • 3 sudu besar air kapur dilarutkan dengan 1 mangkuk air

CARA MEMBUATNYA
  1.  Rendamkan lobak merah dan timun didalam air kapur selama 1/2 - 1 jam untuk merangupkan sayur2an tersebut. Tos dan ketepikan
  2. Tumiskan kesemua bawang merah dan bawang putih dengan 3 sudu minyak masak sehingga agak layu, masukkan biji sawi dan serbuk kari daging dan kacau2kan. Tambah sedikit air jika rempah terlalu kering
  3. Apabila rempah sudah garing, masukkan cuka, gula dan garam secukupnya. Kacaukan supaya ia sebati
  4. Yang terakhir baru dimasukkan lobak merah, timun, cili merah, cili hijau, bawang merah & bawang putih. Gaulkan sehingga rata, biarkan dimasak sebentar sebelum ditutup api
  5. Taburkan bijan sewaktu nak menghidangkan.



Thursday, January 12, 2012

LALA TUMIS BAYAM


Assalamualaikum & Salam sejahtera buat semua yang hadir disini. Semenjak pagi sampai tengahari hujan tak berhenti, nyaman betul la suasana. Rasa macam nak lepak2 je, malas nak masuk dapur, tapi bila memikirkan hero2 yang bakal balik dari sekolah, emmmm tak jadi malas...

So, inilah lala tumis bayam yang menjadi menu pilihan tengahari ini. Selain itu akak juga masak kari ikan & ayam goreng berjintan. Dalam dah cemuih masak ayam terpaksa masak juga untuk anak2. Lala ni favourite anak2, kalau dah tak tahu masak apa, lala selalu jadi pilihan. Semenjak 2 menjak ni dah macam no idea nak masak apa. Hubby pulak setiap hari sebelum ke pasar dia akan tanya nak beli lauk apa untuk famili. Fenin la kepala nak jawap kalau hari2 kena tanya soalan yg sama kan..so hari ni akak suruh dia beli yang pelik2. Tapi bila tengok takde pun yang pelik2 dibawak baliknya....rasanyakan hubby pun dah naik bosan kerja gi pasar. Mungkin kerja tu kena serah kat aii kot? :(

Oklah, resepi yang amat simple, main campak2 je segalanya. Selamat makan tengahari :) :)

BAHAN BAHAN
  • 1 kg sipu lala (direndam sebentar utk membuang kotoran & basuh berkali2 biar betul2 bersih & toskan)
  • RM 2.00 sayur bayam (agak banyak juga sebab anak2 suka, nak jadi kuat macam popeye kot..ngeh3)
  • 2 ulas bawang besar dimayang nipis2
  • 4 ulas bawang putih dicincang halus2
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar serbuk lada putih
  • 1 kiub ikan bilis
  • 1 sudu teh gula
  • Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA

  1. Tumiskan bawang merah & bawang putih sehingga agak layu, masukkan sos tiram, serbuk lada putih & kiub ikan bilis, kacau2kan 
  2. Kemudian masukkan siput lala dan kacau2 kan selalu sehingga masak. Apabila semua siput sudah terbuka menandakan ia sudah masak
  3. Diikuti pula dengan sayur bayam, kali ini kuatkan api dan kacau2kan beberapa kali biar sebati dengan lala, jangan masak terlalu lama sayur ni, nanti lembik pula dah tak sedap kan!
  4. Tutup api, angkat & sedia dihidangkan.


Monday, September 26, 2011

ACAR NENAS


Assalamualaikum...Masakan acar nenas ni adalah salah satu menu tempahan. Kalau saja2 nak masak untuk hidangan keluarga memang tak mungkin terjadi sebab nanti yang makan hanya akak dan suami je jawapnya. Suka sebenarnya bila dapat masak menu yang berbeza sikit sebab dapat la jugak tekak sendiri merasa. Kadang2 bila tengok menu yang dipilih pelanggan asyik2 yang sama je, rasa tak mencabar langsung la pulak. Tapi pilihan pelanggan harus lah dihormati & disiapkan paling terbaik.

Resepi untuk acar nenas ni akak dapat dari majalah Mingguan Wanita. Dah bertahun2 lamanya akak simpan baru keluar resepinya bila ada permintaan. Akak suka acar nenas ni, sesuai digandingkan dengan menu yang lainnya seperti ayam masak merah, kari daging kentang & nasi minyak..Resepinya macam biasa akak letakkan dibawah ini yea...




BAHAN BAHAN
  • 1 biji nenas dibuang kulit seperti biasa
  • Segenggam kecil udang kering
  • 3 ulas bawang merah dimayang halus
  • 2 ulas bawang putih dimayang halus
  • 2 hirisan halia dipotong halus memanjang
  • 2 biji cili merah dihiris nipis
  • 1 sudu kecil biji sawi
  • 1/4 cawan cuka 
  • 2 sudu besar gula
  • Sedikit garam
  • Sedikit serbuk kunyit

CARA MEMBUATNYA
  1. Potong nenas menjadi bahagian yang agak kecil sama seperti dalam gambar. Celurkan sebentar saja dengan air panas dan toskan
  2. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali dan tumiskan semua bahan2 yang dihiris & dimayang halus sehingga agak layu kekuningan
  3. Masukkan udang kering yang sudah dibersihkan terlebih dahulu. Kacau2kan sebentar
  4. Diikuti dengan biji sawi, cuka & serbuk kunyit, kacau2kan dan masukkan kesemua nenas tadi dan gaulkan biar sebati
  5. Akhir sekali masukkan gula dan sedikit garam dan kacau2kan sebentar biar rata. padamkan api & sedia untuk dihidangkan.

Friday, August 26, 2011

KERABU MANGGA BILIS


Assalamualaikum...Sudah tentu ramai yang sedang sibuk berkemas & bersiap2 untuk pulang ke kampung masing2 sempena hari raya nanti. Pasti ada yang sudah dalam perjalanan menuju ke destinasi masing2. Diharapkan anda semua memandu dengan berhati2 dan ingatlah yang tersayang. Bagi akak nak balik kampung hanya ambil masa 20 minit saja. Jadi tak perlu bersiap bagai nak rak. Nak ulang alik 2-3 kali sehari pun boleh. Walau bagaimana pun, persiapan tetap ada dari segi biskut raya, kek dll yang serba sederhana untuk diberikan untuk bonda tersayang..

Oklah, actually kan agak lama nak makan kerabu mangga ni. Dah beberapa kali beli mangganya tapi tak terbuat2 sampai la mangga jadi masak. Kali ni beli mangga terus je buat. Seperti yang dijangkakan yang makan kerabu ni hanyalah akak & Yuni. Sedap kerabu ni tau...tak caya cubalah buat yea, tengok resepinya di bawah ni ok! :)

BAHAN BAHAN
  • 2 biji mangga separuh masak dihiris & potong memanjang
  • 1 bunga kantan dihiris halus
  • 2 ulas bawang merah dihiris halus
  • 5 biji cili padi dihiris halus
  • Segenggam ikan bilis digoreng garing
  • 2 sudu besar kacang tanah digoreng & ditumbuk 
  • 2 biji limau kasturi (diperah & ambil jusnya)
  • 2 sudu besar sos ikan
  • 1/2 sudu besar gula
CARA MEMBUATNYA
  1. Campurkan kesemua bahan2 kecuali kacang tanah & ikan bilis ke dalam mangkuk dan kacaukan biar betul2 sebati
  2. Masukkan kacang tanah yg ditumbuk dan ikan bilis goreng apabila sudah masanya untuk dimakan (maksud akak bila dah hampir waktu berbuka la kan..) supaya tetap rangup. Sedia untuk dihidangkan



Friday, August 19, 2011

DALCA ISTIMEWA ALA MAGHRIBI


Assalamualaikum, Salam petang Jumaat yang penuh keberkatan. Tentu ramai yang sedang berada di dapur time petang2 begini. Sama macam akak juga, sambil2 memasak tu sempat juga jenguk2 mencari resepi. 

Actually tengah dok mencari resepi biskut raya. Dah jumpa banyak sangat yang berkenan cuma bahan2 nya la pulak ada saja yang tak ada dirumah ni.

Oklah, yang di gambar tu masakan dalca yang selalu akak buat jika ada tempahan nasi minyak. Lebih sedap jika gunakan daging kambing tapi disini akak gunakan daging ayam. 

Untuk sesiapa yang teringin nak rasa dalca ala2 Maghribi ni boleh lihat resepinya di bawah ni. Resepinya dah akak ubahsuaikan sedikit ikut tekak tukang masaknya, selamat mencuba..... :)

SUMBER : EDISI RAMADAN LEPAK BERSAMA MAWAR

BAHAN BAHAN
  • 1 1/2 kg daging kambing (akak tukar ke ayam)
  • 2 cwn kacang dhal (direbus sampai lembut, 1/2 darinya dikisar hingga hancur)
  • Rempah penumis 4 sekawan : 
  • kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga & cengkih
  • 5 ulas bawang merah dihiris
  • 3 ulas bawang putih dihiris
  • Sediit halia dihiris halus
  • 3 tangkai daun kari
  • 2 bawang besar kisar
  • 2 cm halia kisar
  • 4 ulas bawang putih kisar
  • 6 ulas bawang merah kisar
  • 2 sudu besar serbuk ketumbar
  • 3 sudu besar serbuk cili
  • 1 sudu besar jintanmanis
  • 1 sudu besar jintan kasar
  • 1 sudu besar rempah kari daging
  • 5 biji buah tomato dibelah2 setiap satu
  • 2 bji terung bulat dibelah 8 setiap satu
  • 1 batang lobak merah potong memanjang
  • 3 biji ubi kentang dibelah 4 setiap satu
  • 10 btg kacang panjang dipotong kecil
  • 1 capsicum hijau dipotong kecil
  • 4 biji cili hijau dibelah tengah
  • 2 keping asam gelugor
  • 1 mangkuk santan (dari sebiji kelapa)
  • 1 sudu besar gula
  • Garam secukup rasa
CARA MEMBUATNYA
  1. Panaskan minyak dan tumiskan rempah 4 sekawan, bahan hiris & daun kari sehingga kekuningan
  2. Sementara itu, satukan serbuk cili, ketumbar, rempah kari, jintan manis & jintan putih dan campurkan dengan sedikit air, gaulkan sehingga jadi pes
  3. Masukkan semua bahan kisar dan pes rempah diatas dan kacau2kan biar sebati & tunggu hingga agak garing sedikit
  4. Masukkan kesemua kacang dhal diikuti dengan daging kambing atau ayam kacau2kan biar sebati dengan rempahnya
  5. Masukkan buah tomato dan 1 cawan air dan biarkan ia merenih sebentar sehingga daging kambing empuk, jika guna ayam sekejap saja sudah mencukupi
  6. Masukkan 1 mangkuk santan sederhana pekat, cili hijau & capsicum, kacau lagi, biarkan ia mendidih 
  7. setelah itu, masukkan sayur2an, yang keras dahulu baru dimasukkan sayur2 yang lembut pula
  8. Masukkan asam gelugur, garam & gula. Apabila semua bahan2 sudah sebati masaknya tutup api & sedia untuk dihidangkan


Thursday, January 20, 2011

SAMBAL GORENG JAWA

Assalamualaikum! Dah makan malam ke? Tunjuk sikit sambal goreng Jawa yang selalu akak masak. Akak memang minat la masakan macam ni, tambah ada tempe tu, lagi la... Akak belajar masak sambal Jawa ni dari seorang jiran sebelah rumah mak akak, kak Zarah namanya. Dia ni memang pure Jawa tau. Boleh kata semua masakan air tangan dia semuanya sedap2 belaka...
Setiap kali Kak Zarah masak sambal goreng ni mesti dia bagi rumah akak sepinggan kecil. Memang tak puas makan sebab sikit sangat. Masa tu akak masih anak dara sunti lagi, tapi semangat nak tau memang tebal dalam jiwa akak ni. So, akak pun buat muka tak malu banyak kali ngendeng2 resepi darinya & akhirnya dapat la jugak...Bukan senang nak dapat resepi dari kak Zarah ni tau!!! Puas hati bila dah reti masak sendiri dapat makan banyak..hahaha...
Kot ada yang berkenan dengan sambal Jawa ni boleh tengok resepi kat bawah ya...
BAHAN BAHANNYA
  • 1 kepingan tempe di potong kecil & nipis
  • 2 kepingan fucuk (jangan direndam)
  • Segenggam suhun (direndam & digunting)
  • 200g kacang buncis dipotong menyerong
  • 3 biji ubi kentang dikupas & dihiris nipis
  • 3 hati & pedal ayam
  • 2 sudu makan cili kering kisar
  • 6 ulas bawang merah *
  • 3 ulas bawang putih *
  • 10 biji cili padi *
  • 1 biji buah keras *
  • 1 sudu besar belacan *
  • 3 sudu makan kicap manis
  • 1/4 cawan santan pekat
  • 2 sudu besar gula
  • Garam secukup rasa

Bahan bertanda * hendaklah dikisar bersama2

CARA MEMASAKNYA

  1. Gorengkan tempe & ubi kentang sehingga garing & ketepikan dulu
  2. Gorengkan pula kepingan fucuk sehingga mengembang seperti keropok, jangan lama sangat nanti hangus, toskan & pecah2kan dengan tangan supaya jadi kepingan2 yg kecil
  3. Goreng hati & pedal ayam sehingga masak dan hiris kecil2
  4. Kurangkan sedikit minyak gorengan tadi dan tumiskan semua bahan kisar & cili kering kisar hingga naik bau dan garing
  5. Masukkan kacang buncis & suhun & kacau biar sebati
  6. Diikuti santan pekat, kicap manis, gula dan garam secukup rasa & kacau lagi
  7. Terakhir sekali baru masukkan tempe, ubi kentang, fucuk, hati & pedal ayam dan kacau2kan lagi supaya sebati dengan sambalnya
  8. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Saturday, January 15, 2011

LEMAK PUTIH KUBIS & TAUHU

Salam semua....sayur lemak kobis ni akak masak tengahari tadi. Masakan jenis sempoi je. Normally kalau akak masak lemak kobis ni mesti nak letak tauhu. Tauhu ni keluaran orang Melayu, tak boleh lama2 sangat waktu memasaknya nanti hancur semuanya. Takpe lah janji puas hati makan buatan air tangan orang Islam.
BAHAN BAHANNYA
  • 1/2 biji sayur kobis
  • 3 keping tauhu
  • 1/2 labu bawang besar dihiris nipis
  • 2 ulas bawang putih dihiris nipis
  • 1 cili merah dipotong serong
  • Sedikit udang segar sebagai perencah
  • 1 mangkuk santan pekat
  • 1 sudu makan gula
  • Sedikit garam

CARA MEMASAKNYA

  1. Campurkan kesemua bahan2 di atas kecuali tauhu, garam & gula dan masak diatas api sederhana
  2. Apabila sudah mendidih sedikit santannya masukkan garam, gula dan tauhu dan kacau2kan
  3. Tutup api apabila sudah mendidih sekali lagi.

Tuesday, November 9, 2010

PERIA CILI BERSANTAN

Salah satu hidangan yang akak masak tengahari tadi. Sangat cepat habisnya sebab ramai yang suka termasuk akak...Lepas siap dimasak, akak akan ketepikan sedikit sebab nanti habis tak merasa pulak...Tadi akak ratah2 je peria ni sebab tak makan nasi..memang sukaaa sangat peria tapi kena masak style macam ni baru akak makan.
BAHAN-BAHANNYA :
2 biji buah peria
5 biji cili merah *
1 labu bawang besar *
3 biji bawang putih *
Sedikit udang segar
1 cawan santan pekat
1 sudu besar sos tiram
1 sudu makan gula
1 sudu teh garam
CARA MEMBUATNYA
  • Peria dibelah tengahnya, gunakan sudu dan buang bahagian tengah termasuk bijinya, dihiris nipis2 dan direndam dengan air yang dicampur sedikit garam selama 15 minit untuk menghilangkan sedikit rasa pahitnya, toskan
  • Bahan yang bertanda * hendaklah dikisar bersama2 dan tumiskan dengan sedikit minyak sehingga naik bau dan garing sedikit
  • Masukkan udang sambil dikacau2kan dan tunggu beberapa minit baru masukkan sos tiram dan peria yang dah dihiris nipis tadi, kacau lagi
  • Tuangkan santan pekat dikuti garam dan gula, rasa dulu jika ada yang kurang boleh ditambah ikut citarasa
  • Kacau2kan selalu dan bila dah agak pekat santannya boleh la ditutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Peria idaman hati ku.....

Friday, November 5, 2010

LEMAK CILI API PUCUK PAKU TELUR MASIN

Assalamualaikum, dah petang rupanya..kejap je masa berlalu. Hari ni akak memang tak sibuk sebab cuti2 gini kebanyakan pelanggan2 tetap RTH yang 80% terdiri dari guru dan bekerja pejabat ambil kesempatan balik kampung atau cuti2 Malaysia...dah dijangka pun, kalau time cuti memang suasana agak lengang... Dari feedback yang akak dapat, kebanyakan dari pelanggan & teman2 semua menyatakan perkara yang sama tentang lokasi tempat ni memang payah orang nak nampak...Ada sorang tu siap kata begini..."U masak memang sedap, tapi sedap macamana pun kalau tempat tersorok macam ni siapa nak datang..." Uiiiks..bunyinya macam nak naik darah bila dengar (biasa la akak ni sikit2 naik darah...bila nak turun darah ntah la...) Tapi memang betul kata2 dia ni, biasanya orang akan terlepas pandang. Hakikatnya depa tak tahu, bukan senang nak dapat kedai betul2 kat tepi jalan..takkan nak suruh akak main pacak je buat warung makan kat tepi jalan kan!! Ok la, cukup la dengan bebelan akak di petang Jumaat. Kat gambar tu salah satu lauk yang akak masak untuk tengahari tadi. Sayur pucuk paku ni memang digemari pelanggan. Tambah bila dimasak ala-ala kampung gini. Kadang2 akak masak dengan ikan masin, kadang2 dengan telur masin macam ni..bagi akak memang rasanya sedap bebeno...dah akak yang masak mesti la kata sedap kan!! Jangan marah.... BAHAN2NYA
  • 2 ikat pucuk paku
  • 2 biji telur masin, direbus, dikupas kulit & dibelah 4
  • 10 biji cili padi *
  • 3 biji bawang merah *
  • 1 biji bawang putih *
  • 2 cm kunyit hidup *
  • 1 batang serai diketuk2
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 mangkuk santan sederhana pekat
  • Sedikit garam dan gula secukup rasa
  • 1 sudu besar minyak untuk menumis
  1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan bertanda * yang dikisar bersama2 terlebih dahulu dan diikuti serai dan tunggu hingga naik bau
  2. Masukkan santan dan asam gelugur dan tunggu hingga mendidih
  3. Dah mendidih tu masukkan pula sayur pucuk paku yang dah siap di potong kecil, masukkan bahagian batangnya dulu dan tunggu agak lembut diikuti bahagian daunnya
  4. Bila dah agak lembut sayurnya baru masukkan telur masin
  5. Masukkan sedikit garam dan gula ikut citarasa masing2, tunggu mendidih dan boleh la ditutup apinya.

Friday, July 16, 2010

PECAL SEKALI MAKAN MESTI NAK LAGI

Assalamualaikum semua.....setelah sekian lama menghilangkan diri, akak kembali dengan sepinggan pecal ni...sedap tau rasa dia, pecal bukan sebarang pecal nie..sekali makan mesti nak lagi! Malam ni akak makan pecal je, tak makan nasi. Tak lalu makan la, baru baik demam ni, kena batuk2 lagi, sakit tekak pulak, wah macam2 penyakit laaaaa....Kenapa akak kata sekali makan mesti nak lagi ? Sebab akak tengok pelanggan2 kat RTH kalau dah try pecal ni, next time datang mesti cari pecal lagi. Ada yang hadap makan sepinggan besar...(ni mesti antu pecal...jgn marah...)Ok, ni resepi from my MIL tau..original ni..Kalau nak rasa yang betul2 asli sedapnya ikut betul2 caranya, jangan ngelat tau...
1 kg kacang tanah (tambah 1 senduk minyak dan goreng hingga garing)
1 labu bawang besar *
8 biji bawang merah *
2 cm halia *
20 biji cili kering *
600 gm gula pasir + 1 cawan air
1 sudu kecil garam
2 cm belacan bakar
1 mangkuk air asam jawa
Kacang tanah yang siap digoreng ditumbuk dengan menggunakan lesung batu sehingga hancur dan ketepikan dulu.
Semua bahan2 * dimasukkan dalam kuali dan digoreng sehingga garing. Gunakan sedikit minyak saja.
Gunakan lesung batu dan tumbuk semua bahan2 tadi sehingga lumat.
Masukkan belacan dan tumbuk lagi.
Campurkan sekali bahan bawang tumbuk ini dengan kacang tanah tumbuk.
Dalam kuali bekas goreng bahan2 tadi, masukkan gula, 1 cawan air dan cairkan gula.
Dah cair, masukkan pula air asam jawa dan tunggu hingga betul2 likat dan pekat baru tutup api.
Masukkan air gula + asam jawa sedikit2 kedalam bekas kacang tanah + bawang yang siap ditumbuk tadi. Gaulkan betul2 sehingga sebati.
Masukkan sedikit garam dan gaulkan.
Pes pecal dah siap.
Cara menghidangkan, ambil 1 senduk pes pecal dan tambahkan sedikit air masak dan kacau2kan ia sehingga menjadi kuah.
Hidangkan dengan sayur2an kampung seperti hirisan timun, sengkuang, pucuk paku, kangkung, telur rebus dan tauhu goreng.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...