Tuesday, March 27, 2012

KEK BADAM STRAWBERI



Assalamualaikum pembuka bicara buat semua pembaca yang sudi hadir di sini. Kehadiran anda semua disini amatlah akak hargai. Setelah agak lama menyepi baru malam ini terbuka peluang untuk berbicara semula di sini. Selama hampir 3 minggu akak tiada ruang untuk ke sini bermakna sudah hampir 3 minggu juga usia bisnes makanan akak di lokasi baru iaitu di tengah pekan Tapah dengan nama Nasi Kandar Korner. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Nya kerana segala penantian & keperitan dalam mendapatkan lokasi baru telah pun berakhir. Satu kepuasan bagi akak bila masakan diterima & diberi sambutan baik, walaupun dengan ruang makan yang agak terbatas. Buat masa ini waktu berniaga ditumpukan hanya untuk makan tengahari. So, buat sesiapa yang teringin nak merasa air tangan kak Ina boleh la cari kanopi hijau kat tengah pekan tu ya!

Ok, berbalik pada gambar kek yang akak buat untuk anak2 semasa cuti sekolah baru2 ini. Kek ni asalnya adalah kek badam tapi saja akak belangkan dengan strawberi supaya nampak berseri2 la sikit kononnya...Anak2 pun memang suka kalau kek yang ada belang2 sebegini tak kira la belang warna apa pun agaknya. Resepi asalnya dari mama akak & seperti biasa resepinya akak letakkan dibawah ini. Semoga bertemu lagi di lain masa. Salam sayang buat semua..... :))


BAHAN BAHANNYA

  • 4 biji telur ayam
  • 1 cawan gula halus
  • 1/2 cawan mentega
  • 2 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder
  • 1/2 cawan susu pekat manis
  • 1/2 cawan serbuk badam
  • 1/2 cawan strawberry concentrate
  • 1 sudu teh stawberry paste

CARA MEMBUATNYA

  1. Campurkan mentega dan gula halus dan putarkan sehingga betul2 kembang
  2. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan putarkan sehingga sebati
  3. Diikuti dengan serbuk badam & susu pekat manis, masukkan ke dalam adunan dan putar lagi
  4. Kemudian masukkan sedikit demi sedikit tepung gandum & baking powder yang diayakkan bersama
  5. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian sama banyak, satu bahagian dibiarkan seperti asal manakala satu bahagian lagi dicampurkan dengan strawberry concentrate & strawberry paste, kacaukan sehingga sebati
  6. Sediakan 1 loyang ukuran 8 inci digriskan dan dilapik dengan kertas baking, tuangkan adunan dengan cara berselang seli antara adunan asal & yg berperisa strawberry sehingga habis kesemuanya
  7. Bakar pada suhu 180C selama 40 minit di dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu.

Thursday, March 8, 2012

ROTI PANDAN BERINTI KELAPA


Assalamualaikum...Lama betul tak buat roti ni, dah rasa teringin sangat nak makan roti yang fresh from the oven. Teringatkan bau roti ni apabila keluar dari oven, aduyaiiii memang terliur rasa & kepingin bebeno nak menjamahnya. Bab meroti ni memerlukan kerajinan pada seseorang tu..walaupun guna BM ni sebenarnya dah mudah la sangat tapi tang nak keluarkan BM dari tempat bertapanya tu pun terasa malas..ntah apa2 kan aii nie!!!

Lebih elok bila kita buat sendiri roti ni sebab kita tahu apa kandungan yang kita letak ke dalam adunan roti tersebut. Waktu akak start meroti ni cuaca sangat la mendung & tak berapa lama kemudian hujan pun turun. Nasib baik hasil rotinya sangat2 gebu & elok sangat naiknya. Bila dikeluarkan roti dari oven, harum wangi semerbak satu rumah dengan aroma pandannya tu. Kami makan petang sekali hadap je roti sebanyak ini, al maklum lah jarang2 dpt makan homemade bread...memang best sangat. Akak pun ada buat jenis kosong saja tanpa inti untuk anak2 yang kecil sebab depa tak reti makan inti kelapa.

Resepinya boleh lihat di bawah..Selamat Meroti Untuk Keluarga Tercinta :)) :)) :))


BAHAN BAHANNYA

  • 250 gm tepung roti 
  • 1 biji telur
  • 1 1/2 sudu besar yis 
  • 1 1/2 sudu besar marjerin
  • 1/2 sudu teh garam halus
  • 3 sudu besar gula kastor
  • 60 ml susu penuh krim
  • 50 ml jus pandan (dikisar & ditapis dari 2 helai daunnya)
  • Beberapa titik pewarna hijau 
  • 2 sudu besar water roux 
BAHAN GLIS
  • 1 biji telur dikocak2kan & campurkan dengan 3 sudu besar air susu 

WATER ROUX : (menggunakan kaedah 1:5 - 1 utk tepung, 5 utk air )

SUMBER : KAK NOR SECUBIT GARAM
  •  30 gm tepung gandum

  • 150 ml air


CARA MEMBUATNYA

  1. Masukkan dlm kuali/pan dan panaskan dgn api sederhana.
  2. Hendaklah sentiasa dikacau supaya tak berketul.
  3. Kacau hingga pekat dan padamkan api ( dlm 2 minit jer)
  4. Bila sejuk masukkan dlm bekas bertutup dan simpan dlm peti ais sehingga nak digunakan.
  5. Keluarkan dr peti ais, biarkan hingga pd suhu bilik baru lah digunakan.

 
BAHAN INTI KELAPA
  • 1/2 biji kelapa parut
  • 4 sudu besar gula melaka
  • 2 sudu besar gula
  • 1 daun pandan disimpulkan
  • 1 cawan air
  • Secubit garam

CARA MEMBUAT INTI
  1. Campurkan gula melaka, gula biasa, air & daun pandan dan masak sehingga larut kesemuanya lalu ditapiskan
  2. Didalam periuk lain, satukan air gula tadi dengan kelapa parut & secubit garam dan masak di atas api sehingga menjadi inti yang kering & pekat

CARA MEMBUAT DOH ROTI

- BREAD MAKER
  1.  Masukkan kesemua bahan2 kering ke dalam Bread Maker (yis dan garam diletakkan di 2 penjuru yang berbeza)
  2. Pilih "DOUGH" dan tekan "START", biarkan proses menguli sehingga selesai
  3. Keluarkan doh dari BM, bahagikan doh & bulat2kan kepada beberapa bahagian (akak dapat 12 ketul) . Masukkan inti ke bahagian tengah doh dan kemaskan dengan baik supaya intinya tidak terkeluar
  4. Perapkan selama 40-50 minit atau sehingga roti naik menjadi 2 kali ganda besarnya
  5. Gliskan terlebih dahulu keseluruh permukaan roti, jika suka boleh juga dipicitkan serikaya pandan diatasnya (macam yg akak buat) menggunakan piping bag yg dipotong sedikit bahagian hujungnya
  6. Panaskan oven dan bakar selama 20-25 minit pada suhu 180C. Biarkan permukaan roti agak garing sedikit.

- TANPA BREAD MAKER
  1. Satukan kesemua bahan kecuali susu & jus pandan ke dalam mangkuk pengadun. Putar menggunakan hook pada mesin pemutar sehingga sebati
  2. Masukkan susu dan jus pandan sambil terus diputar hingga menjadi doh yang lembut
  3. Keluarkan doh dan sambung dengan mengulinya dengan tangan pula sehingga doh menjadi elastik & mudah dibentuk. Tutup adunan dengan kain tuala yang bersih & perapkan selama 40-45 minit
  4. Kemudian apabila doh sudah mengembang, tumbuk2 perlahan keseluruh doh roti bertujuan untuk mengeluarkan angin dalam roti
  5. Bahagikan kepada beberapa bahagian, letakkan intinya dan perapkan sehingga ia naik 2 kali ganda
  6. Sambung seperti no 5 & 6 seperti cara Bread Maker diatas

                                 Elok sangat roti naik walaupun cuaca mendung & hujan    

Wednesday, March 7, 2012

SOTONG KICAP BEREMPAH


Assalamualaikum...Semenjak dua menjak ni agak sibuk sampai tak berkesempatan menjenguk ke sini. Sebelum ditinggalkan lebih lama sampai hilang mood nak berblog, baik akak masukkan n3 sotong ni ha..Sesetengah orang tak boleh makan sotong sebab akan timbul rasa alahan gatal, ada yang alergik, takut gout dan mcm2 lagi. Tapi bagi akak sekeluarga masakan seafood mcm sotong, ketam, udang ni selalu ada dalam menu harian. 

Bagi akak makanan bukannya pemberi masalah, cuma kita yang memakannya haruslah berpada2. Cukuplah jamah 2 - 3 ketul, jangan la makan sampai tak ingat, makan cam gitu baru la boleh mendatangkan penyakit pada diri sendiri. Dan bila dah datang penyakit langsung kita dah tak berpeluang lagi menikmati makanan2 sebegini sebab terpaksa berpantang makan pulak.

Baiklah, bagi penggemar masakan sotong seperti famili akak boleh tengok resepinya di bawah ini ya...Selamat Malam.. :))


BAHAN BAHAN

  • 12 ekor sotong sederhana besar (dibersihkan & ditoskan)
  • 2 sudu besar rempah kari ikan
  • 1 mangkuk santan sederhana pekat dari 1/2 biji kelapa
  • 3 sudu besar kicap lemak manis
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 tangkai cili merah dibelah tengah
  • 3 tangkai cili hijau dibelah tengah
  • 2 helai daun limau purut
  • Garam secukup rasa
  • 1/4 air asam jawa
BAHAN PENUMIS
  • 1 labu bawang besar dihiris nipis
  • 2 ulas bawang putih dihiris nipis
  • 1 cm halia dihiris nipis
  • 1 batang serai diketuk2
  • 1 tangkai daun kari

BAHAN BAHAN DIKISAR BERSAMA
  • 5 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 cm halia

CARA MEMBUATNYA

  1. Mula2, panaskan 2 sudu minyak masak dan tumiskan bahan2 penumis sehingga naik baunya
  2. Kemudian masukkan bahan2 kisar, diikuti dengan rempah kari, kacau2kan biar sebati dan biarkan rempah agak garing. Jika rempah terlalu kering, masukkan sedikit air
  3. Apabila rempah dah garing, masukkan kicap lemak manis & sos tiram, kacau lagi
  4. Diikuti dengan santan, kacau2kan dan apabila kuahnya hampir mendidih masukkan cili merah & cili hijau, garam dan air asam jawa, biarkan kuah mendidih & menjadi agak pekat
  5. Yang terakhir baru dimasukkan sotong yang sudah ditoskan sehingga betul2 kering airnya, kacau2kan sekejap, apabila kuahnya telah mendidih sekali lagi boleh la terus ditutup api, jangan masak sotong terlalu lama sebab ia akan jadi keras & liat. Sedia untuk dihidangkan



Sunday, March 4, 2012

ROTI JALA CICAH KARI DAGING


Assalamualaikum....Selamat pagi!!! Dah sarapan ke belum? Meh la join akak...kita sarapan dengan roti jala yang masih panas lagi ni, nak tak? Cicah pulak dengan kari daging kentang ni, emmm...walaupun kari ni yang akak masak semalam tapi dijamin lebih sedap rasanya dari semalam. Roti jala ni harus dicicah dengan kari yang pekat baru lah kari tu melekat pada roti jala..cerr kalau kari cair mana ke mau nyaaaaa...

Lambat sikit menyiapkan roti jala ni, rasa lambat je nak jadi banyak. Tengah akak sibuk menjala di dapur datang anak lepas sorang, sorang lagi, main cekup bawak lari roti jala yang dah siap ke ruang tamu. Tu yang lambat jadi banyak tu...Takpe2, memang mama masak nak bagi anak2 makan pun kan! Tak leh nak lama2 disini. Resepi roti jala ni akak letak dibawah seperti biasa :))

BAHAN BAHAN

  • 3 cawan tepung gandum
  • 2 cawan santan sederhana pekat
  • 3/4 sudu teh garam
  • 3 sudu besar susu pekat manis
  • Beberapa titik pewarna kuning telur
  • Sedikit minyak masak

CARA MEMBUATNYA
  1. Mula mula, campurkan kesemua bahan2 diatas kecuali minyak ke dalam mangkuk besar dan kacau2kan supaya agak sebati
  2. Kemudian masukkan kesemua adunan tepung ke dalam mesin pengisar dan kisarkan sebentar sehingga sebati.
  3. Sediakan kuali leper (non-stick lebih baik, jika ada) dan sapukan & ratakan sedikit saja minyak pada permukaan kuali untuk elakkan dari melekat
  4. Masukkan adunan tepung ke dalam acuan roti jala atau apa sahaja yang membolehkan anda membuat bentuk (akak gunakan plastik piping bag, gunting hujungnya sedikit saja) 
  5. Apabila kuali leper sudah cukup panas, boleh la mula membuatnya dengan mengikut kreativiti sendiri
  6. Angkat roti jala yang sudah masak & terbalikkan ke atas pinggan besar (bahagian licin dibahagian bawah) dan lipatkan seperti yang anda inginkan
  7. Buat sehingga habis kesemua adunan tepung dan hidangkan dengan sebarang pencicah kari dsbnya, yang anda sukai. Enak juga di makan begitu saja...ceewahhh.. ;-)



Thursday, March 1, 2012

PULUT SERIKAYA


Assalamualaikum...Dah makan malam ke tu? Seronok kan bila dapat berehat dengan famili waktu malam gini. Tapi sekarang ni rumah akak tengah sunyi sepi sebab babah dah bawak anak2 makan kenduri. Bersih la dapur sepanjang malam ni nampaknya..Besok pagi start main masak2 lagi, ada yang menempah masakan untuk di hantar ke Sekolah Anak Yatim Darul Aitam, Temoh untuk makan tengahari.

Pulut serikaya ni terpaksa dibuat setelah melihat tayangan di dapur kak Rosa tempohari. Teringat yang akak pun dah lama tak merasa kuih serimuka yang betul2 sedap. Ada la jugak yang suami beli tapi selalunya memang tak boleh nak habis makan. Bila dapat kuih2 yang tak best ni mula la rasa geram, kadang2 tu teringat kuih serimuka yang mama akak buat waktu dulu2. Bahagian atas tu biasanya dia buat lembik2 gitu, emmmmm lemak & serba serbi semua cukup rasa. Bila dah buat ni baru puas hati makan berkali2, lagi seronok bila tengok suami makan banyak. Kuih ni dah kena potong sebelum betul2 sejuk oleh ada la sorang tu, emmm nak kena babab tangan tu ehhhh....Ni mesti gara2 tak tahan godaan la ni...hi3

Resepinya akak copy dari kak Rosa. Resepi asalnya pulak dari Yatie. Terima kasih ya kak Rosa sebab menimbulkan keinginan & kerajinan aii untuk buat kuih ni & terima kasih buat Yatie kerana sudi berkongsi resepinya. Suka sangat rasanya...sedapppp!! Bagi yang teringin nak rasa tu buat la sendiri ya, boleh tengok resepinya di bawah ni...Selamat Malammm :))

RESEPI ASAL : YATIE MEMORIES
SUMBER        : EMBUN ROSALIZA


Bahan-bahan

* Bahan lapisan bawah
 
* 2 cawan beras pulut
* 1 1/2 cawan santan cair( biasanya santan ikut paras pulut dan lebihkan santan sikit je)
* 1/2 sk garam
* 1 sb minyak

Cara Untuk Lapisan Bawah

  1. Sediakan kukusan terlebih dahulu. Biarkan air mendidih.
  2. Bersihkan beras pulut dan direndam selama 10-20min.
  3. Toskan beras pulut. Tak perlulah lama2 sekejap je pon boleh. Alas loyang dngn plastik.
  4. Satukan semua bahan2 didlm loyang dan dikacau sedikit agar minyak dapat diratakan.
  5. Kukus diatas kukusan yg telah sedia mendidih selama 20-30min.
  6. Keluarkan loyang dari kukusan, ratakan permukaan pulut tadi dan tekan2 pulut biar padat. Siap untuk dilapis dgn lapisan atas.
  7. Sementara menunggu lapisan bawah masak, bolehlah siapkan bahan2 utk lapisan atas.

* Bahan lapisan atas
* 1 cawan tepung gandum
* 1 sudu besar tepung jagung
* 1 sudu besar tepung beras
* 3/4 cwn gula merah/brown sugar/gula melaka
* 1/2 cwn gula pasir
* 2 biji telur
* 2 cwn santan pekat
* 1 cwn air (utk di masak bersama gula merah dan gula pasir) - akk tambah daun pandan
* 1/2 sk garam
* sedikit coklat emulco(warna gelap sikit)


CARA UNTUK LAPISAN ATAS
  1. Masak gula merah dan gula pasir bersama 1 cwn air dan tapiskan....sejukkan sebentar.
  2. Satukan tpng gandum, tpng beras dan tepung jagung ke dlm mangkuk besar.
  3. Masukkan santan yg telah dilarutkan bersama garam.
  4. Di ikuti dgn air gula yg telah sejuk.
  5. Masukkan telur dan gaul sebati...nak mudah blend semua bahan.
  6. Masak di atas api sederhana sebentar dan sentiasa di gaul.( biar berwap saja)Sekali lagi dgn kukus yg sedia mendidih tapi INGAT api biar sederhana aje...letakkan loyang yg berisi pulut tadi tu....kedlm kukusan dan dgn perlahan tuangkan lapisan atas. Kukus la selama 20 minit saja.
  7. PERINGATAN...kuih ini hendaklah betul2 sejuk barulah mudah dipotong dan cantik dihidangkan...jadi SELAMAT MENCUBA!!
  8. Potong menggunakan pisau plastik/pisau kek supaya kuih cantik dn licin. 

KARI IKAN TONGKOL


Assalamualaikum...Alhamdulillah, panas terik sungguh cuaca tengahari ni, belum sampai 1 tengahari semua kain baju dah siap angkat dari jemuran. Lepas zohor nanti dah boleh lipat sambil nonton tv. Biasa la tu..takkan sambil hadap dinding je kan. Macam akak ni bekerja dari rumah merangkap suri rumah jugak memang kerja rumah tak pernah selesai. Bukannya selalu dapat hadap tv tau, jadi bila ada kesempatan macam tengah lipat kain akak layan la jugak cerita2 di tv tu....Biar pun ada pembantu tapi memang semenjak dari dulu waktu masih bekerja tak pernah akak lepaskan semua bebanan kerja rumah padanya. Lagi pun hasil tangan orang mana nak sama macam yang kita buat sendiri. 

Sekarang ni bila berada dirumah dengan kehadiran pembantu memang tak berapa menggembirakan akak sebenarnya, terasa sangat nak hantar je dia balik terus selepas 9 tahun dia bekerja dengan kami. Actually akak pernah tanya dia, apa kata balik saja kampung, duduk rumah tunggu orang meminang. Tapi jawapnya, dah bape kali balik dulu pun masih xde orang nak pinang, lg pun kat sana bukan ada kerja pun, baik duduk sini saja dengan ibuuuu, katanya.....Kesian pulak kan. Tak pe la, ibu mu ini memang tak menjanjikan gaji yang tinggi buatmu tapi kamu antara yang banyak membantu ibumu ini sewaktu susah ataupun senang...kamu sentiasa disisi ibu.

Ok la, sebelum lebih jauh melencong, kita berbalik pada gambar kari ikan tongkol akak ni. Kalau masak kari, biarlah terasa kepedasannya, baru la sedap kan!! Akak memang tak reti jemu makan lauk ikan, cuma anak2 lebih suka lauk ayam (semua budak2 macam tu kan!) Kari ni sengaja buat kuahnya lebih, malam nanti boleh cicah dengan roti.Kuah nya ada campur cili padi sikit bior lg terangkat..Walau pun masakan yang biasa2 tapi resepi tetap ada di bawah ni ya..Jumpa lagi... :))



BAHAN BAHAN
  • 1 ekor ikan tongkol (dipotong kepada beberapa bahagian)
  • 2 sudu besar rempah kari ikan
  • 1 cawan santan sederhana pekat
  • 1 cawan air asam jawa
  • 2 biji tomato dibelah 2 setiap satunya
  • 2 cili hijau dibelah tengah tanpa putus
  • Kacang bendi
  • Garam ikut citarasa

BAHAN2 PENUMIS (dihiris halus)
  • 3 ulas bawang merah
  •  2 ulas bawang putih
  • 1 hirisan halia
  • 1 sudu teh halba campur
  • 1 tangkai daun kari

BAHAN2 KISAR
  • 5 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 5 ulas cili padi

CARA MEMASAKNYA
  1. Panaskan sedikit minyak dalam 2 sudu besar, tumiskan semua bahan2 penumis sehingga naik bau
  2. Masukkan bahan2 yang dikisar, diikuti dengan rempah kari ikan, kacau2kan & tunggu rempah agak garing & naik aromanya
  3. Masukkan air asam, kacau lagi dan masukkan pula santan. Biarkan ia sehingga mendidih sebentar
  4. Kemudian masukkan ikan tongkol, diikuti dengan tomato & cili hijau, biarkan ia mendidih perlahan2 sambil sesekali dikacau2kan
  5. Terakhir, masukkan kacang bendi dan garam secukup rasa. Ikut selera masing2 sama ada suka bendi agak lembik atau masih rangup. Akak suka rangup jadi tak perlu tunggu lama memasaknya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...